Selasa, 27 March 2018 | 6:42pm
DATUK Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad (kiri) hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi memberi keterangan dalam saman oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Ada usaha ganggu gugat PM - Tengku Sariffuddin

KUALA LUMPUR: Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, bahawa terdapat usaha untuk menganggu gugat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, hubungan Najib dan Tun Mahathir menjadi keruh dan menyebabkan 'pergaduhan politik' kerana terdapat beberapa isu, antaranya isu kewangan dan bantuan PROTON dan kekalahan Mukhriz dalam UMNO.

Malah, Tengku Sariffuddin berkata, bukan sahaja 'serangan' oleh Tun Mahathir tetapi daripada anaknya Datuk Seri Mukhriz, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan balas oleh peguam Haniff Khatri Abdulla yang mewakili bekas Menteri Besar Kedah, Mukhriz dalam kes saman fitnah yang dikemukakan terhadapnya.

Tengku Sariffuddin berkata, kenyataan yang pernah dikeluarkan terhadap Mukhriz adalah berdasarkan perjalanan politiknya (Mukhriz) sendiri.

Tengku Sariffuddin mengakui bahawa kenyataan itu dibuat berdasarkan fakta oleh Mukhriz sendiri, iaitu beliau pernah bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada 2009 dan Naib Presiden UMNO pada 2013.

Tengku Sariffuddin berkata beliau membuat andaian Mukhriz mahu menjadi Perdana Menteri berdasarkan kepada kenyataan itu.

Bagaimanapun, beliau menafikan menulis perkara negatif berhubung Mukhriz adalah supaya orang awam tidak percaya kepada kenyataannya (Mukhriz) apabila menyentuh isu 1MDB.

Tengku Sariffuddin diwakili peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos.

Perbicaraan dihadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersambung pada 16 Julai sehingga 19 Julai ini.

Pada 3 Mei 2016, Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memfailkan saman terhadap Tengku Sarifuddin selepas mendakwa defendan ada mengeluarkan empat kenyataan fitnah yang diterbit dan disiarkan secara meluas di pelbagai media dan portal berita.

Pada 6 Januari tahun lalu, mahkamah memutuskan dua daripada empat kenyataan fitnah bertarikh 15 dan 20 April 2016 tidak merujuk kepada bekas Menteri Besar Kedah itu, tetapi kenyataan ketiga dan keempat dibicarakan.

Berita Harian X