Jumaat, 23 March 2018 | 4:15pm
PENGARAH Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Mohamad Noor Abdul Rani.
PENGARAH Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Mohamad Noor Abdul Rani.

JAIP beri kaunseling mangsa liwat, gangguan seksual

KUANTAN: Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) akan memberi kaunseling kepada pelajar sebuah pusat tahfiz di sini, yang diliwat dan mengalami gangguan seksual oleh seorang sukarelawan.

Pengarahnya, Datuk Mohamad Noor Abdul Rani, berkata kaunseling itu akan dilakukan sebaik pihak berkuasa selesai menjalankan siasatan, termasuk pemeriksaan perubatan.

Katanya, difahamkan, kesemua pelajar terbabit perlu memberi keterangan kepada pihak polis untuk melengkapkan kes.

"Sebaik kes itu terbongkar, kami cuba memberi kaunseling kepada pelajar terbabit. Namun, pengurusan pusat tahfiz terbabit memberi cuti dua minggu kepada semua pelajar.

"Oleh itu, kita mengambil keputusan untuk memberi kaunseling sebaik segala urusan berkaitan pihak berkuasa selesai," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan penahanan seorang sukarelawan pada 12 Mac lalu, selepas tenaga pengajar pusat tahfiz terbabit membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Suspek berumur 41 tahun yang juga bekerja sendiri itu dikatakan aktif memberi sumbangan barangan keperluan harian dan pakaian kepada pusat tahfiz berkenaan sejak 2015.

Semalam, lelaki itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas 38 pertuduhan melakukan gangguan seksual dan meliwat 10 pelajar lelaki sebuah pusat tahfiz, sejak tahun lalu.

Tertuduh, Nasrul Arman Ahmad, meminta dibicarakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan terhadap 10 pelajar lelaki berusia 12 hingga 17 tahun dari Julai 2017 hingga Februari lalu.

Berita Harian X