Khamis, 22 March 2018 | 4:26pm

Nyaris maut terkena tembakan senjata sendiri

BAYAN LEPAS: Seorang pemandu di sebuah klinik kesihatan nyaris maut apabila terkena tembakan selepas senapang patah miliknya terjatuh di Jalan Gertak Sanggul, Teluk Kumbar, di sini, semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 10.15 malam itu, mangsa berusia 51 tahun mengalami cedera di tangan kiri, muka dan mata.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan, berkata siasatan mendapati mangsa ketika itu baru pulang selepas menembak tupai di kebunnya.

"Ketika kejadian, ada dua saksi terdengar bunyi tembakan dan mereka kemudian melihat mangsa terbaring dan mengalami kecederaan sebelum menghubungi polis.

"Siasatan mendapati senapang terbabit yang tidak dikosongkan peluru terjatuh dan terkena tali hingga menyebabkan picunya terpetik secara tidak sengaja dan terkena mangsa," katanya dihubungi hari ini.

Menurutnya, mangsa kini stabil serta masih dirawat di hospital dan pemeriksaan mendapati dia mempunyai lesen membawa dan mengguna senapang patah yang sah.

"Kita sudah merampas senapang patah milik mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 dan 338 Kanun Keseksaan," katanya.

Difahamkan, mangsa juga adalah seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) sejak tahun 2000 lalu.

Berita Harian X