Khamis, 22 March 2018 | 2:35pm

Didakwa ubah wang haram RM1.4j

PETALING JAYA: Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 38 tuduhan menerima wang hasil pengubahan wang haram berjumlah lebih RM1.4 juta dan menjalankan perkhidmatan wang tanpa lesen, antara 2012 dan 2016.

M Meyyappan, 53, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-35, Meyyappan didakwa menerima wang berjumlah RM1,411,363.38 hasil aktiviti haram ke dalam akaun RHB Bank Berhad dan Malayan Banking Berhad miliknya.

Dia dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di RHB Bank Berhad cawangan Damansara Jaya dan Damansara Utama serta Malayan Banking Berhad, cawangan Damansara Utama, antara 22 Mei 2012 dan 1 Ogos 2016.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta atau mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ashikin Mokhtar, mencadangkan jaminan RM300,000 dengan penjamin dan dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM150,000 dengan alasan akaun bank miliknya dan isteri sudah dibekukan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Sementara itu, Meyyappan turut didakwa atas tiga tuduhan menggunakan akaun Malayan Banking Berhad, cawangan Damansara Utama dan RHB Bank Berhad cawangan Damansara Jaya untuk menjalankan perniagaan perkhidmatan wang tanpa lesen yang diberikan mengikut Seksyen 7 Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 iaitu perniagaan pengiriman wang.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan SS21/36 Damansara Utama dan RHB Bank Berhad, Jalan SS 22/25 Damansara Jaya, di sini, antara 10 Jun 2015 dan 1 Ogos 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (Akta 731) yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Bank Negara Malaysia (BNM), Steve Chin Yun Cheong mencadangkan jaminan RM150,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin, serah pasport dan melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan, berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis.

Mahkamah turut menetapkan 11 Mei ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Berita Harian X