Rabu, 21 March 2018 | 1:24pm

Pekerja sukarela hadapi 38 tuduhan

KUANTAN: Seorang pekerja sukarela sebuah pusat tahfiz di sini berdepan 38 pertuduhan iaitu meliwat dan melakukan serangan seksual ke atas 10 pelajar lelaki berusia 14 hingga 17 tahun di pusat itu sejak tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner Othman Nanyan, berkata lelaki berusia 41 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, esok, membabitkan 29 pertuduhan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana meliwat.

Beliau berkata, suspek turut berdepan sembilan lagi pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 kerana melakukan kelucahan melampau terhadap kanak-kanak.

"Hasil siasatan mendapati semua mangsa dipercayai diliwat dan dicabul di asrama sebuah pusat pembelajaran tahfiz serta di rumah suspek di daerah ini.

"Siasatan mendapati enam mangsa diliwat, manakala empat mangsa lagi dicabul (raba kemaluan) pada masa dan hari berbeza serta dipercayai diliwat lebih daripada sekali.

"Kejadian dipercayai berlaku pada Julai 2017 hingga Februari lalu," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Suspek yang juga bekerja sendiri ditahan pada 12 Mac lalu selepas seorang daripada tenaga pengajar pusat tahfiz di Bukit Bay Route di sini, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

Lelaki terbabit dikatakan aktif memberi sumbangan barangan keperluan harian dan pakaian di pusat tahfiz berkenaan sejak 2015.

Othman berkata, jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, suspek boleh dipenjara antara lima hingga 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan.

"Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 pula, suspek boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebatan," katanya.

Berita Harian X