Isnin, 19 March 2018 | 8:49pm
SEORANG wanita cedera selepas ditikam oleh anak lelakinya yang menghidap penyakit mental. - Foto hiasan
SEORANG wanita cedera selepas ditikam oleh anak lelakinya yang menghidap penyakit mental. - Foto hiasan

Anak tikam ibu

KUALA LUMPUR: Seorang wanita cedera selepas ditikam oleh anak lelakinya yang menghidap penyakit mental, menggunakan pisau di rumah mereka di Jalan Batu Bata Off Jalan Tun Razak, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa, Ong Beng Lee, 52, cedera di bahagian dada kanan, manakala suspek berusia 33 tahun cedera di bahagian dada kiri selepas menikam dirinya sendiri.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.45 pagi.

"Ketika kejadian, hanya suspek dan mangsa berada di rumah sebelum insiden itu didengari jiran mereka, yang turut membantu wanita berkenaan.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mendapati mangsa yang juga pekerja pembersihan sudah dibawa ke hospital, manakala suspek masih berada di rumah berkenaan.

"Suspek bertindak agresif ketika cuba ditahan oleh Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang tiba di lokasi kejadian menyebabkan seorang anggota polis melepaskan tembakan pegun.

"Suspek berjaya ditahan pada jam 9.46 pagi dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan selepas bertindak menikam diri sendiri," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Shaharudin berkata, siasatan awal mendapati suspek menikam ibunya kerana berang apabila diminta mengambil ubat rawatan penyakit mental dialaminya selepas tiga hari enggan mengambil ubat berkenaan.

"Berdasarkan kad rawatan suspek, kali terakhir dia menerima rawatan bagi penyakit mental pada Khamis lalu dan rawatan seterusnya pada 1 Mei nanti.

"Mangsa yang cedera di bahagian dada kanan akibat kejadian itu menerima enam jahitan, manakala suspek masih dirawat di zon merah Hospital Kuala Lumpur (HKL). Kedua-duanya dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah merampas pisau berukuran 12 sentimeter, yang digunakan suspek dalam kejadian itu.

"Kami masih belum dapat membuat soal siasat terhadap suspek sehingga selesai rawatan, atas nasihat doktor.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya.

Berita Harian X