Ahad, 18 March 2018 | 12:16pm
PENGERUSI MCCF, Halim Ishak. - Foto Mohd Yusni Ariffin
PENGERUSI MCCF, Halim Ishak. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Kaji semula hukuman kes dera

KUALA LUMPUR: Malaysian Community Care Foundation (MCCF) menggesa Jabatan Peguam Negara mengkaji semula hukuman terhadap Datin Rozita Mohamad Ali yang didakwa melakukan penganiayaan terhadap pembantu rumahnya warga Indonesia.

Pengerusi MCCF, Halim Ishak, berkata keputusan mahkamah mengenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun kepada tertuduh serta bayaran jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin tidak setimpal dengan apa yang dilakukan wanita berkenaan.

"MCCF yang menjalankan program pendataan dan kebajikan warga asing serta isu pemerdagangan manusia di Malaysia agak 'terkejut' dengan hukuman yang diputuskan mahkamah itu, sedangkan secara jelas tindakan majikan berkenaan tidak berperikemanusiaan.

"Namun kami merayu agar Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Kehakiman dapat mengkaji semula keputusan berkenaan demi keadilan kepada mangsa," katanya dalam kenyataan kepada NSTP, semalam.

Halim berkata, pihaknya yakin kecederaan fizikal serta trauma mental yang dihadapi mangsa amat memberi kesan untuk tempoh yang lama atau seumur hidupnya.

Katanya, pihaknya percaya keputusan itu akan menjejaskan sektor pembantu rumah warga asing yang amat kritikal ketika ini.

"Kes seperti ini jika tidak ditangani dengan baik oleh semua pihak, akan menyebabkan warga asing tidak lagi berminat untuk bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia," katanya.

Beliau berkata, mereka juga mungkin fobia dengan apa yang sering berlaku terhadap rakan mereka di negara ini termasuk dieksploitasi, tidak dibayar gaji dan didera.

Pada Disember 2016, Rozita ditahan dan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas tuduhan cubaan membunuh Suyanti Sutrinso.

Bagaimanapun, suri rumah itu pada mulanya tidak mengaku bersalah atas tuduhan berkenaan.

Namun pendakwaan kemudian dilaksanakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.

Dalam penghakiman pada 15 Mac lalu, Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar memutuskan Rozita dikenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun, selepas suri rumah itu menukar pengakuan kepada bersalah.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh membayar jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Berita Harian X