Khamis, 15 March 2018 | 1:53pm

Dua beradik dituduh rogol berkumpulan

MELAKA: Tiga lelaki termasuk dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas tuduhan merogol seorang gadis bawah umur hujung bulan lalu.

A Sarawanankumar, 24, dan adiknya, Gunasekaran, 23, serta K Dinesh, 23, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil terhadap mereka di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa merogol secara berkumpulan ke atas mangsa berusia 17 tahun.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 30 tahun.

Sementara itu, Gunasekaran turut didakwa melakukan gangguan seksual fizikal ke atas mangsa sama dan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Sarawanankumar pula dihadapkan dengan dua pertuduhan berasingan, manakala Dinesh satu pertuduhan atas kesalahan melakukan seks luar tabii terhadap mangsa sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.

Semua kesalahan itu dilakukan ketiga-tiga tertuduh di sebuah rumah di dalam daerah Alor Gajah, sekitar jam 8.40 malam hingga jam 10.10 malam, pada 28 Februari lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Azhar Mokhtar tidak menawarkan jaminan kerana bimbang tertuduh akan mendekati mangsa yang juga saksi utama pendakwaan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Nahdan Rengganathan Abdullah memohon jaminan rendah dikenakan dengan alasan Sarawanankumar tidak bekerja, manakala adiknya seorang juruteknik dan menanggung ibu mereka yang uzur.

Dinesh pula bekerja sebagai kelindan lori dan perlu menjaga kakaknya yang juga orang kurang upaya (OKU).

Mahkamah kemudian memerintahkan ketiga-tiga tertuduh tidak dibenarkan jaminan dan menetapkan 18 April depan untuk sebutan semula kes.

TERTUDUH, A Sarawanankumar (dua dari kiri), Gunasekaran, (tengah) dan K Dinesh (dua dari kanan) diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol seorang gadis bawah umur hujung bulan lalu. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
Berita Harian X