Rabu, 14 March 2018 | 2:58pm

21 pelajar tahfiz mangsa dera seksual

KUANTAN: Seorang guru sebuah maahad tahfiz di sini, membuat laporan polis mendakwa seramai 21 pelajarnya didera secara seksual oleh seorang lelaki yang juga pemberi sumbangan kepada maahad berkenaan.

Menurut sumber, guru berusia 22 tahun itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, kelmarin selepas pelajar yang menjadi mangsa mengadu kepadanya.

"Menurut laporan polis itu, kejadian membabitkan pelajar lelaki berusia antara 14 hingga 17 tahun yang dipaksa menghisap kemaluan lelaki terbabit berlaku sejak Ogos tahun lalu, malah suspek turut meliwat enam pelajar berkenaan.

"Semua mangsa turut dipukul dan diugut bunuh sekiranya perkara yang dilakukan itu terbongkar kepada pengetahuan orang lain," kata sumber itu ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, pihaknya sudah menahan suspek yang berusia 41 tahun di sekitar bandar ini, Isnin lalu.

Beliau berkata, suspek yang juga sukarelawan di situ dan aktif dalam memberi sumbangan barangan keperluan harian dan pakaian di maahad tahfiz itu sejak tahun 2015, kini direman bermula semalam sehingga 19 Mac ini.

"Laporan mendakwa mangsa diliwat di sekitar kawasan asrama dan kediaman suspek di sebuah taman perumahan di sini dan siasatan mendapati suspek melakukan perbuatan itu antara satu hingga lima kali terhadap setiap mangsa," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

KEADAAN di sekitar sebuah maahad tahfiz berikutan seorang gurunya membuat laporan polis mendakwa pelajarnya didera secara seksual oleh seorang lelaki yang juga pemberi sumbangan kepada maahad berkenaan. - Foto Farizul Hafiz Awang
KEADAAN di sekitar sebuah maahad tahfiz berikutan seorang gurunya membuat laporan polis mendakwa pelajarnya didera secara seksual oleh seorang lelaki yang juga pemberi sumbangan kepada maahad berkenaan. - Foto Farizul Hafiz Awang
Berita Harian X