Rabu, 14 March 2018 | 12:32pm
KEADAAN suspek lelaki Bangladesh cedera selepas mencuri telefon bimbit mangsa berdekatan Hentian Saleng, Senai. - Foto ihsan media sosial FB
KEADAAN suspek lelaki Bangladesh cedera selepas mencuri telefon bimbit mangsa berdekatan Hentian Saleng, Senai. - Foto ihsan media sosial FB

Samun penumpang bas, lelaki Bangladesh cedera dipukul

KULAI: Seorang lelaki Bangladesh berusia 39 tahun yang meragut mangsanya dalam sebuah bas henti-henti, cedera dipukul di kepala dan ditahan dalam kejadian di hentian bas di Saleng, Kulai, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulai, Deputi Superintendan Tok Beng Yeow, berkata kejadian jam 8 malam itu berlaku selepas suspek meragut telefon bimbit mangsa.

"Suspek yang menaiki bas henti-henti meragut telefon bimbit mangsa yang ketika itu dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kulai.

"Ketika bas tiba di hentian Saleng, suspek cuba melarikan diri, mengakibatkan orang awam yang menyaksikan kejadian itu mengejar dan memukul suspek," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, suspek yang ditangkap orang awam cedera di kepala sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

"Suspek dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk rawatan lanjut dan siasatan awal mendapati suspek tidak memiliki dokumen diri serta masuk ke negara ini secara tidak sah," katanya.

Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak sampai tujuh tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.

Berita Harian X