Jumaat, 2 March 2018 | 7:35pm
SETIAUSAHA Akhbar Perdana Menteri, Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad hadir dalam kes saman yang dikemukakan oleh bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Asyraf Hamzah

Tengku Sariffuddin nafi fitnah Mukhriz

KUALA LUMPUR: Tindakan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir memfailkan saman terhadap Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad didakwa mahu menagih simpati politik daripada rakyat semata-mata.

Tengku Sariffuddin berkata demikian melalui kenyataan saksi yang dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, ketika memberi keterangan dalam kes saman fitnah yang dikemukakan oleh Mukhriz.

Beliau dalam keterangannya menafikan ada mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap Mukhriz sebaliknya ia adalah berdasarkan konteks perjalanan politiknya (Mukhriz) sendiri.

"Saya menafikan perkataan yang diadukan adalah fitnah kepada plaintif (Mukhriz). Saya menegaskan bahawa perkataan itu adalah tidak memfitnah atau berupaya memfitnah secara makna semulajadi dan lazim mahupun secara makna innuendo atau inferens.

"Saya percaya seorang pembaca yang waras akan lihat kenyataan itu adalah komen balas terhadap kenyataan plaintif sendiri yang mengatakan beliau tidak ada cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri," katanya yang diwakili peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos.

Menurutnya, plaintif dilaporkan berkata demikian (kenyataan tiada cita-cita menjadi Perdana Menteri) melalui kenyataan akhbar yang disiarkan melalui akhbar South China Morning Post.

"Di dalam kenyataan itu saya tidak menyatakan apa-apa yang menghina, memfitnah beliau atau boleh dedahkan beliau kepada sebarang cemuhan awam. Saya menjadi tertanya-tanya kenapa beliau berkata demikian dalam kenyataannya sedangkan Mukhriz pernah bertanding untuk jawatan Naib Presiden UMNO pada tahun 2013.

"Saya juga mengatakan bahawa sebagai seorang pemimpin politik, beliau tidak seharusnya terlalu sensitif kepada analisa atau pendapat mengenai perkembangan politiknya. Rakyat berhak memberi komen dan kupasan mengenai perjalanan politik seorang pemimpin politik," katanya.

Pada 3 Mei 2016, Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memfailkan saman terhadap Tengku Sariffuddin selepas mendakwa defendan ada mengeluarkan empat kenyataan fitnah yang diterbit dan disiarkan secara meluas di pelbagai media dan portal berita.

Pada 6 Januari tahun lalu, mahkamah memutuskan dua daripada empat kenyataan fitnah bertarikh 15 dan 20 April 2016 tidak merujuk kepada bekas Menteri Besar Kedah itu bagaimanapun kenyataan ketiga dan keempat dibicarakan.

Tengku Sariffuddin berkata, asas kepada kenyataan media ketiga yang dikeluarkannya adalah berdasarkan kenyataan media plaintif sendiri.

"Pertamanya, saya bukan menghina atau menjatuhkan reputasi plaintif tetapi sebaliknya adalah memberi jawapan balas serta komen berpatutan terhadap kenyataannya.

"Ia memaparkan pandangan atau analisa politik saya terhadap hala tuju masa depan politik plaintif berdasarkan faktor politik dan proses politik yang dilaluinya serta berdasarkan budaya dan norma perjalanan politik parti UMNO sendiri," katanya.

Merujuk kepada kenyataan media keempat yang didakwa mengandungi fitnah, Tengku Sariffuddin berkata ia tidak relevan dan tidak mempunyai kaitan langsung dengan plaintif sebaliknya ia ditujukan kepada bapanya iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya menegaskan walaupun nama plaintif disebut tetapi jika ia dibaca secara menyeluruh adalah jelas ia tidak berkait langsung, tidak merujuk dan tidak relevan kepadanya.

"Kenyataan media keempat itu diterbitkan sebagai suatu kenyataan daripada Pejabat Perdana Menteri kepada isu dan perkara yang timbul dalam politik, masyarakat dan kerajaan ketika itu," katanya.

Katanya, ada pelbagai tohmahan yang dibuat oleh Mahathir bagi tujuan mencapai matlamat politiknya termasuk memburukkan UMNO, ahli serta presiden.

"Pada saya ini adalah kaedah percaturan politik yang dipilih oleh Mahathir bagi meraih sokongan terhadap parti politik yang ditubuhnya. Daripada kajian yang dibuat oleh pasukan kajian di Bahagian Media Pejabat Perdana Menteri, kami membuat keputusan bahawa serangan politik Mahathir wajib dijawab bagi menerangkan keadaan sebenar.

"Kami dapati memang terdapat persepsi politik umum bahawa Mahathir bercita-cita atau berniat untuk membantu anaknya iaitu plaintif untuk menjadi Perdana Menteri, apatah lagi dengan jawatan Naib Presiden dalam parti barunya," katanya.

Tambah Tengku Sariffuddin lagi, itu adalah tanggapan rakyat umum berdasarkan tindak tanduk Mahathir dan pemimpin rakan politik lain yang hingga sekarang masih enggan menamakan siapa akan menjadi Perdana Menteri sekiranya pakatan politik mereka menang pilihan raya umum nanti.

Menjawab soalan sama ada, beliau berniat jahat ketika membuat kenyataan media, Tengku Sariffuddin menafikan perkara itu dan menegaskan bahawa ia dengan niat untuk pengetahuan dan kepentingan orang awam.

"Saya bertanggungjawab untuk memberi pencerahan kepada rakyat berkaitan kenyataan politik yang dibuat oleh pihak tertentu atau tindakan politik itu mempunyai agenda jahat yang bertujuan menggugat perjalanan sebuah kerajaan yang sah.

"Saya dan Bahagian Media Pejabat Perdana Menteri mempunyai tanggungjawab berat untuk menangkis dakyah politik dilemparkan Mahathir dan pihak lain yang bertujuan mendapatkan kuasa politik melalui penyebaran maklumat dan berita yang tidak tepat atau separuh benar," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Mukhriz, beliau bersetuju bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, Kedah itu tidak boleh berdiri sendiri di dalam politik tanpa bapanya.

Beliau juga berkata adalah terpulang kepada rakyat untuk menilai sendiri Mukhriz sama ada mempunyai kelayakan di dalam politik.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersambung 15 Mac ini.

Berita Harian X