Rabu, 28 Februari 2018 | 7:13pm

Gajah 'serang' Balai Polis Telupid

TELUPID: Kegusaran berkaitan konflik gajah dengan manusia di kawasan Telupid, semakin menjadi-jadi apabila Balai Polis Telupid, turut 'diserang' sekumpulan gajah, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, sebanyak 10 gajah masuk ke dalam kawasan balai selepas merosakkan pagar.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan V Shivananthan, berkata beliau turut membuat pemantauan di lokasi berkenaan.

"Ketika itu, sekumpulan 10 gajah berada di luar pagar balai dan berdasarkan pemerhatian, tiga daripadanya anak gajah, manakala selebihnya gajah dewasa dan kelihatan beberapa ekor pula dipercayai ibu gajah yang sangat agresif dengan melanggar pagar dawai balai.

"Sebelum ini lagi, pagar itu sudah berlubang akibat dirosakkan haiwan berkenaan dan kini gajah itu boleh masuk dengan bebas. Ketika membuat pemerhatian, kami dikejar kumpulan gajah terbabit hingga ia dapat masuk ke kawasan balai.

"Bagaimanapun, kami sempat menyelamatkan diri dan tiada individu atau harta benda lain dirosakkan kecuali pagar," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shivananthan berkata, kehadiran gajah di lokasi berkenaan kini semakin menjadi-jadi dan membimbangkan.

"Kawasan sekitar balai ini juga sudah dipenuhi najis haiwan berkenaan. Dalam bulan ini, hampir setiap hari gajah berkeliaran di kawasan berhampiran balai polis.

"Selain balai, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telupid sering diganggu gajah. Lebih membimbangkan ia dilaporkan selalu berada di luar pagar asrama sekolah berkenaan," katanya.

Susulan kejadian itu, beliau berkata, pihaknya bersama pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) sudah bermesyuarat di Telupid, semalam.

"Mesyuarat semalam memutuskan untuk mewujudkan kawasan khas atau penempatan khas habitat gajah terbabit terletak di belakang sekolah dan balai ini.

"Kawasan itu nanti dilengkapi pagar elektrik dan ia turut dijadikan sebagai eko-pelancongan daerah ini. Justeru, langkah seterusnya ialah pihak berkaitan mendapatkan hak tanah di kawasan berkenaan untuk diwartakan," katanya.

SEPULUH ekor gajah liar berada di luar pagar, di Balai Polis Telupid. - Foto Hazsyah Abdul Rahman
SEPULUH ekor gajah liar berada di luar pagar, di Balai Polis Telupid. - Foto Hazsyah Abdul Rahman
Berita Harian X