Selasa, 27 Februari 2018 | 7:56pm

9 ditahan kes kecurian mesin Bitcoin

SERDANG: Sembilan lelaki ditahan dalam enam serbuan berasingan di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Kuching, Sarawak bermula 23 Februari lalu hingga semalam, berhubung kes kecurian mesin Bitcoin bernilai lebih RM1 juta di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias, berkata pihaknya menerima lima laporan polis mengenai kes kecurian itu dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

"Berdasarkan laporan diterima, sebanyak 153 mesin Bitcoin meliputi mesin jana kuasa dianggarkan bernilai lebih RM1 juta, dilaporkan hilang di daerah ini antara 17 Januari hingga 15 Februari lalu.

"Hasil maklumat dan risikan dilakukan, kami menahan sembilan individu warga tempatan berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun terdiri daripada penjual (dipercayai yang mencuri), orang tengah serta pembeli," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di sini, hari ini.

ANTARA mesin bitcoin yang berjaya ditemui pada sidang media samun Dan curi mesin Bitcoin oleh Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Amirudin Megat Elias di IPD SERDANG. - Foto Rohanis Shukri
ANTARA mesin bitcoin yang berjaya ditemui pada sidang media samun Dan curi mesin Bitcoin oleh Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Amirudin Megat Elias di IPD SERDANG. - Foto Rohanis Shukri

Dalam kejadian terbaru, seorang lelaki mengalami kerugian RM400,000 selepas premis miliknya di daerah ini, dipecah masuk dan beberapa mesin Bitcoin dilarikan pada kira-kira jam 7 malam 16 Februari lalu.

Megat Mohamad Aminuddin berkata, hasil serbuan itu, pihaknya berjaya menemui semula 57 mesin dan penjana kuasa Bitcoin dianggarkan bernilai RM500,000 yang dipercayai dicuri daripada pihak membuat lima laporan polis sebelum ini.

"Kami masih memburu beberapa individu lain dipercayai terbabit kes berkenaan, termasuk seorang lelaki yang juga dalang kegiatan ini.

"Pada masa sama, kami menyeru individu yang membeli mesin Bitcoin dipercayai daripada kegiatan curi, supaya tampil memberi kerjasama kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 357, Seksyen 457 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana mencuri serta memiliki barang curi," katanya.

Megat Mohamad Aminuddin (dua dari kiri) pada sidang media samun dan curi mesin Bitcoin di IPD SERDANG. - Foto Rohanis Shukri
Megat Mohamad Aminuddin (dua dari kiri) pada sidang media samun dan curi mesin Bitcoin di IPD SERDANG. - Foto Rohanis Shukri
Berita Harian X