Sabtu, 24 Februari 2018 | 12:01pm
Pegawai penguatkuasa Jabatan Kastam memeriksa minuman keras ketika sebuah daripada tiga buah pusat hiburan diserbu menerusi (Ops BAH) Siri 42 dan dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan antaranya beroperasi tanpa lesen, beroperasi melebihi masa dibenarkan, menggaji warga asing sebagai pekerja dan menyalahguna lesen sekitar Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Untung berjuta tapi tiada lesen

KUALA LUMPUR: Pemilik sebuah premis hiburan mewah di Jalan Kampung Pandan, di sini, dipercayai mengaut untung jutaan ringgit setahun walaupun beroperasi tanpa lesen sejak lebih lima tahun lalu.

Perkara itu terdedah selepas ia diserbu menerusi Operasi Bersepadu Banteras Aktiviti Haram Kuala Lumpur (Ops BAH) Siri 42, tengah malam tadi.

Pemeriksaan mendapati premis hiburan mewah terbabit mengenakan caj antara RM20,000 hingga RM50,000 semalam, tertakluk kepada jenis bilik kepada pelanggan yang kebanyakannya terdiri daripada ahli perniagaan.

Selain itu, premis terbabit turut menawarkan pelbagai hadiah kenderaan mewah, antaranya Lamborghini Huracan dan Toyota Vellfire kepada pengunjungnya yang bertuah.


Anggota Jabatan Immigresen menggari wanita warga asing yang tidak mempunyai permit kerja ketika serbuan di sebuah pusat hiburan dalam Ops BAH Siri 42 sekitar Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin SaadAizuddin Saad

Soal siasat turut mendapati premis terbabit boleh mengaut untung antara RM150,000 hingga RM300,000 sehari hasil perniagaan yang dijalankan.

Ketua Penyelaras Ops BAH Siri 42, Azman Mahmood, berkata serbuan ke atas premis hiburan terbabit dilakukan selepas menerima aduan ia beroperasi secara haram.

"Menerusi serbuan ini, kita lakukan semakan dan mendapati ia tidak memiliki lesen sah walaupun sudah beroperasi sejak lebih lima tahun lalu.

"Perkara ini amat mengejutkan kerana premis hiburan berkonsep mewah dan berupaya mengaut keuntungan jutaan ringgit ini masih berani beroperasi tanpa lesen pusat hiburan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati premis hiburan terbabit turut menggaji warga asing sebagai pekerja dan wanita pelayan pelanggan (GRO).

"Semakan pihak kastam turut mendapati premis ini melakukan kesalahan mengikut Seksyen 32(1) Akta Eksais 1976, iaitu tidak mempunyai lesen menjual arak kepada orang ramai.

"Susulan itu, sejumlah 114 botol arak pelbagai jenama disita dalam operasi ini," katanya.

Dalam pada itu, sebuah premis hiburan di Jalan Doraisamy diserbu semalam susulan pemantauan mendapati ia kerap beroperasi melebihi masa dibenarkan iaitu jam 3 pagi.

"Premis ini sudah lima kali diserbu sebelum ini atas kesalahan sama dan mereka masih berani beroperasi melebihi masa, sehingga jam 6 pagi.

"Mereka lakukan ini setiap hari, bukan pada waktu hujung minggu sahaja. Kita akan kaji semula lesen pusat hiburan yang diberikan kerana premis ini yang nampaknya 'tak makan saman'," katanya.

Premis hiburan ketiga di Jalan Doraisamy yang menawarkan hiburan tarian Bollywood kepada pelanggannya pula dikesan menggaji wanita warga asing sebagai penari di situ.

Dalam operasi itu juga, ujian saringan air kencing oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) ke atas 74 pekerja dan pengunjung mendapati 11 daripadanya positif dadah termasuk dua wanita.

Pemeriksaan oleh Jabatan Imigresen pula mendapati 20 warga asing terdiri daripada lima lelaki dan 15 wanita melakukan pelbagai kesalahan imigresen, antaranya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah dan menyalah guna pas lawatan.

Kesemua mereka ditahan untuk tindakan susulan.

"Pemeriksaan oleh pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) pula mendapati 29 terdiri daripada pengunjung beragama Islam, 18 lelaki dan 11 wanita yang diperiksa didapati positif minum arak.

"Susulan itu, mereka akan didakwa mengikut Seksyen 19 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997," katanya.

Ops BAH Siri 42 yang bermula jam 11 malam hingga jam 4 pagi itu dijayakan 318 anggota daripada 27 agensi termasuk pertubuhan bukan kerajaan.

Fokus utama Ops BAH adalah penguatkuasaan terhadap pusat siber perjudian haram, pusat urut tanpa lesen, dadah, warga asing, penyalahgunaan permit dan aktiviti maksiat.

Menggunakan konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), Ops BAH disertai oleh pelbagai agensi kerajaan dengan Kementerian Wilayah Persekutuan bertindak sebagai peneraju utama usaha itu.

Berita Harian X