Rabu, 21 Februari 2018 | 7:04pm
PENGAWAI penguatkuasa JKNT membuat siasatan dan pemeriksaan di sebuah rumah tumpangan yang dijadikan lokasi pengamal pendakap gigi secara haram melakukan aktiviti pemasangan pendakap gigi tanpa lesen di sebuah rumah tumpangan di Losong. - Foto Aslina Abu Bakar
PENGAWAI penguatkuasa JKNT membuat siasatan dan pemeriksaan di sebuah rumah tumpangan yang dijadikan lokasi pengamal pendakap gigi secara haram melakukan aktiviti pemasangan pendakap gigi tanpa lesen di sebuah rumah tumpangan di Losong. - Foto Aslina Abu Bakar

Pasang pendakap gigi di rumah tumpangan

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menyerbu sebuah rumah tumpangan di Kampung Losong, di sini yang dijadikan lokasi tiga individu menawarkan khidmat pemasangan pendakap gigi secara haram.

Dalam serbuan jam 3:30 petang tadi, dua wanita berusia 21 tahun dipercayai pembantu pemasang pendakap gigi ditahan untuk diambil keterangan manakala seorang lagi wanita berusia 20-an dipercayai ketua kumpulan berkenaan, melarikan diri.

Pengarah JKNT, Dr Mohammad Omar, berkata ketika serbuan membabitkan tujuh pegawai penguat kuasa JKNT dan tiga anggota polis, 16 pelanggan sedang menunggu giliran manakala seorang sedang dipasang pendakap gigi.

Mohammad berkata, pihaknya sudah membuat intipan sejak Januari lalu dan mendapati modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan sentiasa menukar lokasi pemasangan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Kumpulan ini dipercayai datang dari Kuala Lumpur dan menawarkan perkhidmatan pemasangan pendakap gigi pada harga murah.

"Harga yang ditetapkan juga rendah berbanding klinik yang berdaftar dan promosi dijalankan melalui laman media sosial.

"Pelanggan hanya membuat pembayaran secara dalam talian sebelum mendapatkan khidmat mereka," katanya selepas serbuan itu di sini, hari ini.

Katanya, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 4 Akta 586 dan jika disabit kesalahan setiap mereka akan didenda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun.

Sementara itu, seorang mangsa, yang dikenali sebagai Rabiatul, 16, dari Kampung Bukit Payung berkata dia mengetahui mengenai perkhidmatan itu sejak dua bulan lalui melalui rakannya.

"Saya lihat kawan saya memuat naik status dia memakai pendakap gigi pada tahun lalu dan saya terus bertanya di mana dia dapatkan perkhidmatan itu. Dia kemudian memperkenalkan saya dengan doktor ini yang dikenali sebagai Kak Ain.

"Jadi saya terus berhubung dengannya melalui WhatsApp," katanya.

Rabiatul berkata, dia baru sekali mendapatkan rawatan itu dan hanya dikenakan bayaran RM250.

Berita Harian X