Rabu, 21 Februari 2018 | 5:49pm
ANGGOTA bomba mengeluarkan jari Zuriyati yang tersepit, hari ini. - Foto ihsan Bomba
ANGGOTA bomba mengeluarkan jari Zuriyati yang tersepit, hari ini. - Foto ihsan Bomba

Jari tersepit mesin jahit

NILAI: Seorang wanita berusia 33 tahun cedera jari telunjuk kanan akibat tersepit mesin jahit di sebuah rumah di Jalan Bandar Baru Nilai 1/2E, Putra Point, di sini, hari ini.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Nilai, Mohd Syazwan Saidy, berkata wanita itu, Zuriyati Meerangani sedang menjahit tempahan baju Melayu ketika kejadian berlaku jam jam 3.15 petang.

Katanya, ketika menjahit, tidak semena-mena jari telunjuk kanannya tersepit menyebabkan wanita itu kesakitan.

"Pada mulanya, rakan sekerja menyangkakan Zuriyati bergurau namun selepas melihat mangsa menangis menahan kesakitan, mereka segera menghubungi bomba.

"Sepasukan enam anggota dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 3.19 petang.

"Sebaik tiba jam 3.24 petang, kami mendapati jari telunjuk mangsa tersepit. Kerja menyelamat dijalankan segera dan kami memerlukan lima minit untuk mengeluarkan jarinya," katanya.

Beliau berkata, anggotanya memberikan rawatan awal sebelum mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Nilai, di sini, untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X