Rabu, 21 Februari 2018 | 2:00pm
TINDAKAN penjenayah yang melarikan peti wang di sebuah restoran di Taman Gombak Permai, Gombak, Ahad lalu, berjaya dirakam CCTV di premis berkenaan.
TINDAKAN penjenayah yang melarikan peti wang di sebuah restoran di Taman Gombak Permai, Gombak, Ahad lalu, berjaya dirakam CCTV di premis berkenaan.

Penjenayah bawa lari RM50

GOMBAK: Sekumpulan penjenayah 'berputih mata' apabila wang yang disamun daripada peti wang di sebuah restoran di Taman Gombak Permai, di sini, jatuh bertaburan menyebabkan mereka hanya dapat melarikan wang tunai RM50.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi, Ahad lalu itu, empat lelaki yang menunggang motosikal dipercayai bersenjatakan parang melarikan peti wang di restoran berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, berkata suspek dilihat memberhentikan kenderaan di hadapan premis berkenaan sebelum dua daripada mereka menyerbu masuk ke restoran.

Katanya, mereka kemudian menyamun peti wang itu sebelum melarikan diri.

"Siasatan mendapati suspek hanya berjaya melarikan wang tunai sebanyak RM50," katanya.

Tindakan mereka menyamun restoran berkenaan dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di premis terbabit yang viral di media sosial sejak semalam.

Ali berkata, kumpulan penjenayah itu dipercayai turut terbabit dengan satu lagi kejadian samun di Selayang, di sini, pada hari sama.

"Kami menerima dua laporan polis berhubung kejadian samun pada hari berkenaan yang dipercayai dilakukan kumpulan sama berdasarkan jumlah suspek dan modus operandi.

"Gerakan memburu semua suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X