Selasa, 20 Februari 2018 | 1:05pm
SHEIKH Kharleez Bamadhaj Jaffar, disahkan meninggal dunia selepas terbabit kemalangan di Kilometer 445.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS)menghala utara, Gombak, semalam.
SHEIKH Kharleez Bamadhaj Jaffar, disahkan meninggal dunia selepas terbabit kemalangan di Kilometer 445.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS)menghala utara, Gombak, semalam.

Seorang maut, dua cedera parah kemalangan

GOMBAK: Seorang penunggang motosikal maut, manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan di Kilometer 445.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke utara di sini, malam tadi.

Dalam insiden jam 11.45 malam, Sheikh Kharleez Bamadhaj Jaffar, 26, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala, badan dan kaki.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa menunggang motosikal Kawasaki Ninja bersendirian dalam perjalanan dari Sungai Buloh menghala ke Rawang.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas lalu terjatuh di atas jalan raya sebelum dilanggar kereta Proton Saga dinaiki dua lelaki berusia 26 tahun.

"Pemandu kereta terbabit yang berada di lorong kedua tidak sempat memberhentikan kenderaan dan hilang kawalan selepas melanggar mangsa lalu terbabas ke pembahagi jalan sebelum berpusing masuk ke lorong ketiga," katanya.

Akibat perlanggaran itu, Ali berkata, pemandu dan penumpang kereta terbabit cedera parah.

"Hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati ada kesan brek di lorong kedua sepanjang kira-kira 50 meter. Motosikal mangsa pula mengalami kerosakan kecil pada bahagian kiri, manakala kereta terbabit rosak teruk di bahagian hadapan.

"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat. Dua lagi mangsa yang cedera parah turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian dan ada maklumat berhubung kemalangan itu diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk membantu siasatan.

"Kami meminta bantuan orang ramai menyalurkan maklumat berhubung kejadian itu memandangkan tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi terbabit bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X