Selasa, 13 Februari 2018 | 6:26pm

Berita palsu punca masyarakat takut jenayah di Selangor

SHAH ALAM: Penyebaran berita palsu dikenal pasti antara faktor utama masyarakat masih takut meskipun statistik jenayah mencatatkan penurunan.

Naib Presiden Kanan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Abdul Mutalib Ishak, berkata ia berdasarkan hasil kajian Petunjuk Persepsi Jenayah (PCI) ke atas penduduk negeri ini.

"Kita melihat persepsi masyarakat ini merangkumi empat komponen utama termasuk penanda, ruang dan perkhidmatan.

"Peratusan tinggi menunjukkan bahawa mereka terkesan dengan berita melalui 'cakap mulut', media sosial dan berita palsu yang disebarkan secara meluas," katanya.

Naib Presiden Pemandu Associates Abdul Mutalib Ishak menyampaikan taklimat di Majlis Pembentangan Hasil Kaji Selidik Petunjuk Persepsi Jenayah (PCI) Kontijen Selangor bagi Tahun 2017 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. - Foto Roslin Mat Tahir

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pembentangan Hasil Kaji Selidik PCI di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini, yang turut dihadiri Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor.

Abdul Mutalib berkata, kajian PCI dilakukan bagi merapatkan jurang persepsi masyarakat terhadap jenayah berikutan mereka kurang percaya walaupun statistik jenayah di negara ini mencatatkan penurunan.

"Berdasarkan hasil kajian antara September hingga November tahun lalu, Selangor secara keseluruhannya mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kedua terbaik iaitu sebanyak 37 peratus, sekali gus melebihi sasaran ditetapkan.

"Namun, Pulau Pinang paling selamat dengan catatan KPI iaitu 33 peratus manakala Johor dengan 39 peratus dan Kuala Lumpur, 42 peratus. Lagi rendah lagi bagus," katanya.

Sementara itu, Mazlan berkata, beliau amat berpuas hati dengan hasil kajian berkenaan yang membantu menambah baik persepsi jenayah masyarakat terhadap polis.

"Kita cakap jenayah turun tetapi masyarakat masih tidak berpuas hati. Apabila memperoleh data ini, hasil kajian akan ditunjukkan sendiri kepada mereka," katanya.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor menyampaikan cenderahati kepada Naib Presiden Pemandu Associates Abdul Mutalib Ishak (kanan) di Majlis Pembentangan Hasil Kaji Selidik Petunjuk Persepsi Jenayah (PCI) Kontijen Selangor bagi Tahun 2017 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. - Foto Roslin Mat Tahir

Berita Harian X