Sabtu, 10 Februari 2018 | 2:16pm
ANGGOTA polis mengiringi suspek di Mahkamah Majistret Kota Samarahan. - Foto ihsan PDRM

Cemburu bawa maut

SERIAN: Cemburu dipercayai menjadi motif seorang petani mengelar isterinya menggunakan pisau di rumah mereka di Kampung Bedup Longgok, di sini, tengah hari semalam.

Suspek berusia 38 tahun itu cuba menyembunyikan perbuatannya dengan datang ke Balai Polis Serian jam 1.35 tengah hari dan memaklumkan isterinya yang berusia 33 tahun ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah.

Sumber berkata, siasatan polis di rumah pasangan itu menemui beberapa unsur mencurigakan selain kenyataan suspek yang meragukan.

Menurutnya, suspek dipercayai mengelar isterinya akibat cemburu kerana mangsa didakwa mempunyai hubungan sulit.

"Cemburu mungkin menjadi motif utama kejadian, manakala keterangan suspek juga tidak konsisten.

"Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian menemui sebilah pisau pemotong sayur di dapur yang dipercayai digunakan suspek untuk mengelar leher isterinya sehingga mati manakala tiada kehilangan barang berharga yang boleh dikaitkan dengan samun," katanya.

Difahamkan, anak perempuan pasangan itu kini dijaga jiran buat sementara waktu sebelum polis mendapat perintah mahkamah dan menyerahkan kanak-kanak itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Mahkamah Majistret Kota Samarahan membenarkan permohonan reman tujuh hari terhadap suspek bermula hari ini sehingga 17 Februari.

Majistret Dayang Roseling Awang Mahdini membenarkan permohonan itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar dalam kenyataannya berkata, mangsa ditemui mati berlumuran darah di ruang tamu rumahnya.

Katanya, suami mangsa mendakwa menemui isterinya dalam keadaan sedemikian selepas pulang daripada mengambil anak perempuan mereka yang berusia lapan tahun dari sekolah.

Berita Harian X