Jumaat, 9 Februari 2018 | 6:43pm
DATUK Seri Khairuddin Abu Hassan. - Foto Zunnur Al Shafiq
DATUK Seri Khairuddin Abu Hassan. - Foto Zunnur Al Shafiq

Mahkamah Tinggi tolak permohonan Khairuddin

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak permohonan bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bagi mengenepikan waran yang memberi kuasa kepada sebuah firma guaman untuk mewakili Low Taek Jho berhubung barang kemas bernilai AS$27.3 juta.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan Khairuddin untuk mengenepikan memorandum kehadiran peguam Francis Ng Aik Guan yang mewakili Low atau Jho Low itu tidak mempunyai asas.

Beliau berkata, Khairuddin sebagai plaintif gagal membuktikan bahawa permohonan itu mempunyai merit.

"Mahkamah tidak boleh menerima dakwaan tanpa sebarang bukti kukuh. Plaintif (Khairuddin) meminta mahkamah tidak menerima memorandum itu atas dakwaan ia tidak ditandatangani oleh Jho Low.

"Plaintif mendakwa terdapat penipuan tanda tangan yang dilakukan oleh peguam bagaimanapun tiada bukti kukuh dikemukakan terhadap pertuduhan itu.

"Waran itu ditanda tangani di hadapan Konsulat Jeneral Malaysia di Hong Kong. Ia mengikut peruntukan undang-undang dan mahkamah menerimanya," katanya.

Mahkamah dalam keputusannya turut menolak permohonan Khairuddin untuk menyoal balas Jho Low.

Peguam Rishwant Singh mewakili Jho Low, manakala peguam Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar bertindak bagi pihak Khairuddin.

Mahkamah menetapkan 26 Mac ini untuk pengurusan kes.

Mahkamah juga akan mendengar permohonan Datin Seri Rosmah Mansor dan syarikat 1Malaysia Development (1MDB) membatalkan saman itu.

Pada 16 Ogos tahun lalu, Khairuddin memfailkan saman itu dengan menamakan Datin Seri Rosmah Mansor, Jho Low dan 1MDB sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Khairuddin mendakwa antara Jun 2013 dan Mac 2014, Jho Low melalui ejennya membeli barang kemas daripada sebuah syarikat dikenali sebagai Loraine dari New York bernilai AS$27.3 juta.

Beliau mendakwa jumlah itu sebahagian daripada wang yang dicuri Jho Low daripada 1MDB.

Berita Harian X