Jumaat, 9 Februari 2018 | 2:33pm
RAMPASAN minuman keras dan rokok di Kompleks Kastam WPKL. - Foto Sairien Nafis

Arak, rokok RM3.1 juta dirampas

PETALING JAYA: Jabatan Kastam Kuala Lumpur menggagalkan dua cubaan menyeludup minuman keras dan rokok pelbagai jenama bernilai RM3.1 juta dalam serbuan di Klang dan Shah Alam, Isnin lalu.

Dalam serbuan di dua gudang itu, kastam turut menahan lima orang termasuk dua wanita dengan seorang daripadanya warga Indonesia.

Pengarah Kastam Kuala Lumpur, Zulkurnain Mohamed Yusuf, berkata serbuan pertama dijalankan pada jam 1 tengah hari di sebuah gudang di Telok Gong, Klang.

"Kita menemui pelbagai jenis bir dan rokok disimpan dalam gudang berkenaan.

"Susulan itu, kita menyita 50,922 liter bir pelbagai jenama bernilai RM294,881 membabitkan nilai duti dan cukai RM731,979.

"Kita turut menyita 2.01 juta batang (10,050 karton) rokok putih bernilai RM316,800 membabitkan duti dan cukai bernilai RM1.29 juta," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Kastam Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Katanya, dua lelaki dan dua wanita berusia antara 21 hingga 51 tahun ditahan dalam serbuan pertama itu dengan semuanya direman 12 hari bagi membantu siasatan.

Susulan serbuan pertama, kastam melakukan serbuan kedua pada jam 5.45 petang di sebuah gudang di Seksyen U5, Shah Alam.

"Kita menyita 559,400 batang (2,797 karton) rokok putih bernilai RM100,692 membabitkan duti cukai RM361,819.

"Seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun ditahan dan direman 10 hari untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan barang larangan.

Zulkurnain berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung modus operandi sindiket yang terbabit dalam dua kes ini.

"Kita masih menyiasat kemungkinan dua kes ini didalangi sindiket sama dan mengesyaki semua bir serta itu dibawa masuk dari negara jiran melalui pelabuhan namun diisytiharkan sebagai produk lain," katanya.

Semua barang dirampas dipercayai untuk pasaran tempatan sempena musim perayaan.

Berita Harian X