Selasa, 6 Februari 2018 | 8:02pm

Lelaki maut diserang buaya

LAHAD DATU: Seorang lelaki maut selepas diserang buaya dalam kejadian di Sungai Ladang Seberang Peringkat 5 di sini, petang semalam.

Difahamkan, kejadian jam 6 petang itu berlaku ketika mangsa yang belum dikenal pasti identiti dan berusia lingkungan 40-an, mencari lokan di kawasan sungai terbabit bersama anak lelakinya berumur 15 tahun.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Hamzah Ahmad, berkata mangsa dan anaknya dikatakan sering mencari lokan di kawasan itu untuk dijual.

"Kami difahamkan ini (mencari lokan) adalah aktiviti harian mangsa sebagai punca rezeki.

"Dalam kejadian itu, mangsa diserang buaya ketika berada di dalam sungai dan kejadian turut dilihat oleh anaknya.

"Mangsa dikatakan dilibas dan tersangkut pada dahan kayu di dalam sungai. Anaknya menarik mangsa ke tepi sungai sebelum meminta pertolongan adik-beradik lain," katanya di sini, hari ini.

Berikutan serangan itu, Hamzah berkata, mangsa mengalami calar pada badan dan luka di tangan, dada serta perut, dan dihantar ke Hospital Lahad Datu sebelum disahkan meninggal dunia.

Berita Harian X