Selasa, 6 Februari 2018 | 7:19pm
M.Devarajoo dipujuk anaknya Sivakamy dan Gunavathy (kanan) ketika menunggu hasil laporan bedah siasat punca kematian Tharani yang dibunuh sebelum diserahkan ke balai polis di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). - Foto Rosdan Wahid
M.Devarajoo dipujuk anaknya Sivakamy dan Gunavathy (kanan) ketika menunggu hasil laporan bedah siasat punca kematian Tharani yang dibunuh sebelum diserahkan ke balai polis di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). - Foto Rosdan Wahid

Suspek banyak kali ajak Tharani kahwin

PETALING JAYA: "Tiga minggu lalu, dia pernah maklumkan ada masalah di tempat kerja namun tidak nyatakan masalah apa dan tidak tahu ia serius hinggalah kami dapat tahu dia maut ditikam rakan sekerjanya petang semalam."

Demikian kata D Gunavathy, 39, kakak kepada D Tharani, 35, yang maut ditikam rakan sekerjanya semalam.

Tharani maut ditikam di bahagian leher menggunakan pisau pemotong sayur oleh rakan sekerjanya ketika berada dalam kereta di kawasan meletak kereta di sebuah pasaraya di Kota Damansara dalam kejadian kira-kira jam1.30 petang.

Selepas menikam mangsa, suspek kemudian memandu ke Balai Polis Damansara bagi menyerah diri bersama mayat mangsa yang dibawa dalam kereta terbabit.

Gunavathy berkata, adiknya itu memang tidak pernah mempunyai kekasih dan tidak pernah terbuka hati untuk berkahwin.

"Sebelum ini bapa kami M Devarajoo pernah menyatakan hasrat ingin mencari calon suami untuk dikahwininya, namun dia (Tharani) tolak dengan alasan belum ada calon pilihan dan belum berfikir untuk berkahwin.

"Lagipun, dia banyak habiskan masa bersama empat ekor anjing yang dibela sejak enam tahun lalu," katanya ketika ditemui di perkarangan unit Patologi Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) petang tadi bagi menuntut mayat adiknya.

Gunavathy berkata, Tharani seorang yang pendiam dan banyak menghabiskan masa di dalam bilik bersama anjing dipelihara.

"Cuma sehari sebelum kejadian, tiba-tiba dia kelihatan sangat gembira serta ikut makan tengah hari dan bergelak-ketawa bersama kami.

"Kami tak sangka pula itu menjadi gelak ketawa terakhirnya bersama kami," katanya.

Mayat mangsa dituntut keluarga kira-kira jam 6.30 petang tadi dan upacara kematian akan diadakan esok di Bandar Baru Sentul.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, siasatan mendapati suspek memang sudah banyak kali meminta mangsa untuk mengahwininya namun ditolak.

Katanya, ketika kejadian jam 1.30 petang kelmarin, suspek dipercayai mempunyai niat untuk membunuh mangsa kerana turut membawa pisau pemotong sayur bersamanya.

"Hasil siasatan awal, kita percaya suspek memang ada niat membunuh mangsa jika permintaannya untuk berkahwin ditolak.

"Ini berikutan suspek turut membawa pisau pemotong sayur bersama dan menggunakannya untuk menikam leher mangsa," katanya.

Berita Harian X