Jumaat, 2 Februari 2018 | 12:31pm
KERETA N Thanabalan dilaporkan hilang selepas meletakkan keretanya tidak jauh dari Batu Caves, ketika menghadiri sambutan Thaipusam, kelmarin. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
KERETA N Thanabalan dilaporkan hilang selepas meletakkan keretanya tidak jauh dari Batu Caves, ketika menghadiri sambutan Thaipusam, kelmarin. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Kereta N Thanabalan ditemui

KUALA LUMPUR: Polis Selangor sudah menemui kereta Proton Iswara milik pemain bola sepak negara, N Thanabalan, di sebuah stesen minyak di Ampang, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata kereta berkenaan ditemui sekitar jam 3 pagi susulan maklumat orang awam.

"Pada masa ini kita sedang mengumpulkan segala maklumat bagi menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenalpasti suspek yang terbabit.

"Siasatan pada masa ini sedang dilakukan oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Dalam kejadian jam 5 pagi kelmarin, kereta berkenaan dilaporkan hilang selepas pemain pasukan Negeri Sembilan itu meletakkan keretanya tidak jauh dari Batu Caves, ketika menghadiri sambutan Thaipusam.

Thanabalan yang menaiki kereta itu bersama keluarganya dari Senawang, Seremban, dilaporkan meletakkan kereta berkenaan pada jam 3 pagi.

Beliau kemudian membuat laporan polis di IPD Gombak, berikutan kehilangan kereta keduanya yang dibeli dua tahun lalu.

Tidak lama selepas membuat laporan polis, Thanabalan memaklumkan kejadian berkenaan menerusi Facebook serta Instagram peribadinya dan berharap orang ramai yang melihat keretanya itu menghubunginya segera.

Berita Harian X