Khamis, 1 Februari 2018 | 2:08pm

Nafi rogol remaja 14 tahun

AYER KEROH: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tiga tuduhan merogol remaja bawah umur, tahun lalu.

Mohamad Dol Fadir Fauzi, 24, membuat pengakuan itu sejurus semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 14 tahun lima bulan ketika kejadian di sebuah rumah di Parit Penghulu, Sungai Rambai, Jasin, antara jam 11.30 malam hingga 12 tengah malam, antara Februari hingga akhir Jun 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Ruvinna Mohd Rawi tidak menawarkan jaminan, namun jika mahkamah menggunakan budi bicara, beliau mencadangkan RM20,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak mengemukakan sebarang rayuan.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 1 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Berita Harian X