Selasa, 30 Januari 2018 | 1:07pm
MUHAMMAD Nasir Razak (tengah) diiringi anggota SPRM selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah membabitkan peruntukan bernilai RM2.54 juta di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh. - Foto Khairunisah Lokman
MUHAMMAD Nasir Razak (tengah) diiringi anggota SPRM selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah membabitkan peruntukan bernilai RM2.54 juta di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh. - Foto Khairunisah Lokman

Bekas pengurus projek nafi pecah amanah

AYER KEROH: Seorang bekas pengurus projek mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan pecah amanah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) bernilai RM2.54 juta, dua tahun lalu.

Muhammad Nasir Razak, 39, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu memegang jawatan Pengurus Projek SBPKP didakwa melakukan pecah amanah membabitkan peruntukan sebanyak 56,700 beg baja berjumlah RM2.54 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Merlimau, Jasin, antara 31 Januari hingga 31 Disember 2016.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh, namun mencadangkan RM500,000 sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara.

Tertuduh tidak diwakili peguam bela, merayu dikenakan jaminan rendah dengan alasan menghidap penyakit asma dan perlu menanggung dua anak berusia 11 dan enam tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah serta perlu melaporkan diri setiap bulan di Pejabat SPRM Melaka.

Mahkamah turut menetapkan 6 Mac depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

BH sebelum ini melaporkan lima lelaki, termasuk pemandu lori, pesawah dan peniaga ditahan berhubung kes penyelewengan SBPKP.

Baja berkenaan sepatutnya dituntut oleh PPK bagi pihak petani dalam sektor penanaman padi yang menyertai SBPKP dan diagihkan kepada mereka, namun suspek dipercayai menjual semula baja terbabit bagi mendapatkan keuntungan peribadi.

Sebuah kereta mewah jenis Audi A4 turut disita dipercayai dibeli menggunakan wang hasil jualan baja berkenaan.

Berita Harian X