Jumaat, 19 Januari 2018 | 4:30pm
ANTARA basikal lajak yang disita polis dalam operasi di sekitar daerah Kluang, semalam. FOTO - NSTP/IHSAN POLIS JOHOR
ANTARA basikal lajak yang disita polis dalam operasi di sekitar daerah Kluang, semalam. FOTO - NSTP/IHSAN POLIS JOHOR

10 geng basikal lajak ditahan

KLUANG: Tindakan 10 remaja mengubah suai dan menunggang basikal secara berbahaya membawa padah apabila mereka ditahan polis dalam kejadian di sekitar kawasan daerah Kluang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham, berkata dalam operasi bermula jam 5 petang dan berakhir jam 7 malam semalam itu, pihaknya menahan 10 remaja berusia 10 hingga 12 tahun yang menunggang basikal lajak di sekitar kawasan yang menjadi tumpuan remaja terbabit menjalankan aktiviti mereka.

Katanya, Ops Basikal Lajak itu membabitkan kekuatan enam pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang serta empat anggota sukarelawan polis.

"Operasi bertujuan membanteras aktiviti berbasikal lajak dalam kalangan remaja yang membahayakan diri sendiri serta orang awam yang lain di atas jalan raya.

"Kesemua ibu bapa remaja yang ditahan sudah dipanggil, selain turut menjalani sesi kaunseling mengenai bahaya dan risiko menunggang basikal lajak di atas jalan raya.

"Amaran keras juga diberikan kepada semua yang terbabit supaya tidak mengulangi aktiviti mereka pada masa akan datang,"katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad berkata, kesemua basikal disita mengikut Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut. Sehubungan itu, katanya,

pihak polis berharap ibu bapa dapat memantau setiap pergerakan dan aktiviti anak mereka supaya tidak terbabit dengan gejala seumpama ini.

Berita Harian X