Khamis, 11 Januari 2018 | 9:54am
KERETA Toyata Altis dipandu lelaki berusia lingkungan 30-an yang merempuh kumpulan remaja basikal lajak remuk teruk di bahagian hadapan. - Foto Mohd Azren Jamaludin

'Kereta rempuh ketika memintas'

PONTIAN: Kereta Toyota Altis yang merempuh sekumpulan remaja menaiki basikal lajak di Kampung Maju Jaya, Pekan Nanas di sini, malam tadi, dipercayai memintas kenderaan lain ketika kejadian.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zakaria Abd Rahman, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian di Kilometer 1.3 Jalan Sawah Ulu Pulai berkenaan pada jam 10.35 malam.

Katanya, siasatan awal mendapati kereta Toyota dipandu lelaki berusia 38 tahun itu datang dari arah Ulu Pulai menuju ke Pekan Nanas.

"Ketika cuba memintas kenderaan di hadapannya, kereta berkenaan merempuh sekumpulan remaja yang menunggang basikal dari arah bertentangan di kanan jalan.

"Kejadian menyebabkan dua penunggang basikal berusia 13 dan 16 tahun tercampak lalu melambung beberapa meter ke atas jalan raya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dikenal pasti sebagai Muhammad Amiruddin Abd Majid, 13, dan Ibnu Ahmad Ahmad Naizl, 16.

Beliau berkata, dua lagi mangsa iaitu Nur Iqmal Haffiz Abdul Wahab, 15, patah bahu manakala Mohammad Nur Hayatuddin Mazli, 15, cedera ringan.

Zakaria berkata, mayat mangsa dan mereka yang cedera dihantar ke Hospital Pontian untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, pemandu kereta berkenaan tidak mengalami kecederaan.

"Tiga daripada penunggang basikal terbabit masih belajar di sebuah sekolah menengah di Pekan Nanas, manakala seorang lagi tidak bersekolah.

"Mereka dalam perjalanan pulang daripada berlatih kompang," katanya.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X