Khamis, 28 Disember 2017 | 6:32pm
KETUA Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Ladamah Sulaiman melihat kereta yang digunakan oleh suspek dalam cubaan merompak sebuah rumah di Palm Beach Villa Kinarut. - Foto Ihsan Polis
KETUA Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Ladamah Sulaiman melihat kereta yang digunakan oleh suspek dalam cubaan merompak sebuah rumah di Palm Beach Villa Kinarut. - Foto Ihsan Polis

Sewa kereta untuk pecah rumah

PAPAR: Dua penjenayah ditahan, 16 jam selepas cuba memecah masuk sebuah rumah di Palm Beach Villa, Kinarut, dekat sini, tengah malam semalam.

Suspek berumur 19 tahun dan 38 tahun itu dikesan selepas kenderaan jenis PERODUA Axia dinaiki mereka berjaya ditemui berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh dari rumah mangsa.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Ladamah Sulaiman, berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada jam 12.14 tengah malam, menyatakan ada sebuah kereta PERODUA Axia berwarna putih dinaiki dua lelaki memerhatikan kawasan rumahnya.

"Tidak lama selepas itu, seorang suspek memecah masuk kawasan rumah pengadu dan cuba mengumpil tingkap depan rumah terbabit

"Abang pengadu menyedari keadaan itu lalu pergi ke arah suspek tetapi suspek melarikan diri," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ladamah berkata berdasarkan laporan dibuat, anggota kereta peronda polis dari Balai Polis Kinarut mengesan suspek, termasuk menerusi CCTV yang ada di tempat kejadian, selain maklumat orang awam.

"Hasil risikan, polis mengesan kereta digunakan suspek di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

"Siasatan mendapati ia adalah kereta sewa yang dimiliki sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan sewaan kenderaan.

"Kita berjaya mengesan butiran penyewa kereta berkenaan dan seterusnya menangkap dua suspek itu di Kampung Contoh, Petagas, bersama dua lagi rakan mereka yang dipercayai turut aktif dalam kes pecah rumah," katanya.

Keempat-empat suspek ditahan pada kira-kira jam 4 petang semalam dan siasatan mendapati, semua suspek terbabit positif dadah jenis Methamphetamine atau syabu, selain dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, suspek kini direman untuk siasatan lanjut, mengikut Seksyen 451 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Berita Harian X