Rabu, 20 Disember 2017 | 11:52am
KETUA Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra (dua dari kanan) bersama pegawainya melihat senjata yang digunakan oleh suspek kes samun di Padang Merdeka pada sidang media kejayaan polis menumpaskan geng samun pada Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di Dataran Pahlawan, IPD Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin.

Ditahan ketika urus niaga dadah

KOTA KINABALU: Polis menahan dua lelaki dan merampas dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM20,000 dalam serbuan di tepi jalan di Jalan Tuaran, Inanam, di sini, semalam.

Dalam serbuan jam 12 tengah hari itu, seorang suspek yang berumur 23 tahun dipercayai pengedar dadah, manakala seorang lagi berusia 45 tahun adalah pembeli.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata penahanan kedua-dua suspek terbabit, susulan maklumat orang awam, selain intipan dan pemeriksaan anggotanya.

"Polis turut merampas syabu seberat 215.52 gram dianggarkan bernilai RM20,000 daripada suspek," katanya kepada media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Chandra berkata, dua suspek yang beralamat di Kampung Cenderamata, Likas, di sini, turut didapati positif dadah selepas pemeriksaan air kencing dijalankan terhadap mereka.

Dalam kes berasingan, lapan lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes samun dan mencederakan seorang mangsa di kawasan pejalan kaki di Padang Bandaran, di sini, pada 18 November lalu.

Chandra berkata, semua suspek berusia 20 hingga 31 tahun ditahan seminggu selepas kejadian itu.

"Dengan penahanan lapan suspek ini, polis berjaya menyelesaikan kes samun berkenaan dan empat kes lain di Penampang," katanya.

Berita Harian X