Rabu, 13 Disember 2017 | 9:29pm
SEORANG anggota keluarga terpaksa ditenteramkan selepas mengetahui kematian Puteri Intan Sharini Mohd Hishammuddin, 8, yang maut. - Foto BERNAMA
SEORANG anggota keluarga terpaksa ditenteramkan selepas mengetahui kematian Puteri Intan Sharini Mohd Hishammuddin, 8, yang maut. - Foto BERNAMA

"Mama baliklah, ambil kakak pergi beli baju sekolah"

POKOK SENA: "Mama baliklah, ambil kakak pergi beli baju sekolah".

Masih terngiang-ngiang dalam fikiran Wan Nor Suriati Wan Masri, 26, suara anak sulungnya, Puteri Intan Sharini Mohd Hishamuddin, 8, ketika menghubunginya malam tadi, merintih memintanya pulang untuk menemaninya membeli kelengkapan persekolahan.

Kata-kata Puteri itu menyebabkan Wan Nor Suriati sebak, terutama mengenangkan niatnya tidak kesampaian apabila anaknya maut selepas tertembak senapang patah milik moyangnya hari ini.

Kejadian kira-kira jam 11.30 pagi ketika mangsa sedang menonton televisyen bersendirian di ruang tamu rumah datuknya di Kampung Empa, dekat sini, sebelum dikatakan terkena tembakan senapang patah milik moyangnya, Saidin Hamid, 80.

Wan Nor Suriati mengakui tergamam melihat wajah Puteri berlumuran darah sejurus tiba di rumah bapanya itu, sebaik dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

"Saya terkilan tidak sempat tunaikan permintaan Puteri. Malam tadi saya ada menghubunginya dan masih terngiang-ngiang permintaannya kepada saya supaya pulang dan teman dia pergi beli barangan sekolah," katanya.

Suri rumah itu berkata, dia hanya mengetahui kejadian menimpa Puteri kira-kira jam 11.30 pagi ketika berada di rumahnya di Kampung Baru, Wang Tepus di Jitra sebelum bergegas ke rumah bapanya di Pokok Sena.

"Sebak saya lihat keadaan muka Puteri berlumuran darah sambil diriba neneknya. Saya tergamam dan terduduk sampai tidak boleh buat apa-apa lagi.

"Saya hanya tahu anak saya tertembak, tetapi tidak tahu bagaimana ia boleh berlaku," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, mengesahkan polis sudah merampas senapang patah serta lesen senjata api berkenaan untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, polis turut menahan dua lelaki yang juga ahli keluarga mangsa untuk siasatan lanjut susulan kejadian itu.

"Berdasarkan siasatan awal, suspek berusia 50 tahun dikatakan mengambil senjata api terbabit untuk menembak tupai, namun seorang lagi suspek berusia 15 tahun secara tidak sengaja tertembak senapang patah itu dan mengenai mangsa.

"Kedua-dua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, untuk bedah siasat," katanya.

Berita Harian X