X
Jumaat, 8 Disember 2017 | 5:14pm
ANGGOTA imigresen menangkap warga asing yang bersembunyi di bawah lantai rumah kongsi pada Ops Imigresen di Pulau Sebang, Alor Gajah. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
ANGGOTA imigresen menangkap warga asing yang bersembunyi di bawah lantai rumah kongsi pada Ops Imigresen di Pulau Sebang, Alor Gajah. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
ANTARA warga asing yang ditahan untuk pemeriksaan pada Ops Imigresen di Pulau Sebang, Alor Gajah. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
ANTARA warga asing yang ditahan untuk pemeriksaan pada Ops Imigresen di Pulau Sebang, Alor Gajah. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Sanggup bersesak bawah lantai elak ditahan

MELAKA: Cubaan 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia untuk bersembunyi di bawah lantai rumah kongsi yang sempit gagal apabila dicekup penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) negeri, dalam Ops Ikrar, awal pagi tadi.

Dalam operasi selama enam jam berakhir jam 3 pagi itu, seramai 218 orang diperiksa, sebelum 29 PATI ditahan di tiga lokasi serbuan di daerah Alor Gajah dan Jasin susulan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Daripada jumlah yang ditahan itu, seramai 16 warga Indonesia termasuk tiga wanita, manakala 13 lelaki warga Bangladesh berusia antara 25 hingga 40 tahun.

Penolong Pengarah Imigresen (Ketua Bahagian Penguatkuasaan) negeri, Nar Azman Ibrahim, berkata seramai 12 PATI, termasuk seorang wanita warga Indonesia itu ditahan ketika cuba bersembunyi dengan cara bersesak di bawah lantai rumah kongsi dalam serbuan di sebuah tapak pembinaan di Jalan Pulau Sebang/ Tampin, Alor Gajah, kira-kira jam 12 tengah malam.

"Walaupun mempunyai ruang sempit kurang 0.5 meter, 12 PATI ini sanggup bersesak untuk cuma mengelak daripada ditahan pihak berkuasa.

"Ketika ditahan, kesemua 12 PATI ini hanya memakai kain dan tuala," katanya pada sidang media selepas operasi berakhir, hari ini.

Beliau berkata, selain tapak binaan terbabit, operasi yang disertai seramai 47 anggota penguat kuasa itu turut memeriksa beberapa rumah kedai di kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Selandar dan Kilang Kotak Song Han Enterprise di Jasin.

Katanya, tujuh daripada PATI terbabit dikesan melanggar syarat pas permit dan akan didakwa mengikut Seksyen 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, 13 lagi masuk dan tinggal di negara ini tanpa permit sah, akan didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta sembilan daripadanya tinggal di negara ini selepas tamat permit, akan didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) akta yang sama.

"Semua yang ditahan dibawa pulang ke pejabat Imigresen negeri di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Ayer Keroh untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Berita Harian X