PADANG TERAP: Seorang lelaki maut selepas terjatuh dari pokok ciku setinggi kira-kira tiga meter di hadapan rumahnya di Kampung Seberang Padang Sanai, Kuala Nerang, dekat sini, petang tadi.
Mangsa, Sham Farishah Othman, 31, ditemui mati oleh sepupunya, Nor Azan Ismail, ketika lelaki itu pergi ke rumah mangsa kira-kira jam 4 petang.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris, berkata lelaki itu menemui mangsa di bawah pokok dan membuat laporan polis di Balai Polis Padang Sanai.
"Polis kemudiannya menghubungi hospital dan pemeriksaan oleh pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
"Melalui maklumat awal, mangsa dipercayai mengalami sawan, namun kita masih menunggu laporan bedah siasat, " katanya dalam kenyataan, di sini.
Beliau berkata, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Kuala Nerang untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.