Selasa, 5 Disember 2017 | 6:21pm
KEBAKARAN skala besar berlaku di tapak pelupusan sampah milik Majlis Daerah Pontian (MDP) di Pekan Nenas, Johor Bahru.- Foto ihsan Bomba

Tapak pelupusan sampah MDP terbakar

JOHOR BAHRU: Kebakaran skala besar berlaku di tapak pelupusan sampah milik Majlis Daerah Pontian (MDP) di Pekan Nanas, dekat sini, sejak Jumaat lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Kesihatan, Penerangan dan Pendidikan Johor, Datuk Ayub Rahmat, berkata kebakaran dipercayai berpunca daripada pembakaran di tapak pelupusan haram berhampiran dan usaha memadamkannya sedang dilakukan oleh pihak bomba.

"Tindakan pemadaman pembakaran terbuka ini memerlukan strategi kerana ia sudah merebak dan usaha itu perlu untuk mengurangkan gangguan asap yang menghala ke kawasan penempatan penduduk.

"Jabatan Bomba dan Penyelamat juga mendapat bantuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang memantau kebakaran dari udara," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ayub berkata, pihak bomba akan menumpukan pemadaman di mana punca api bermula, manakala JAS akan bantu dalam aspek pemantauan udara.

"Laporan kebakaran akan dikemas kini dari semasa ke semasa yang menjadi punca jerebu di sekitar bandar raya ini. Siasatan juga akan dijalankan," katanya.

Berita Harian X