Sabtu, 2 Disember 2017 | 2:13pm
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, Superintendan Mohamed Fadzil A Rahman (kanan) melupuskan pelbagai jenis dadah di sebuah kilang di Jalan Tanjung Batu Laut, Tawau, hari ini. - Foto Abdul Rahemang Taiming

Dadah RM576,666.71 dilupus polis

TAWAU: Pelbagai jenis dadah bernilai RM576,666.71 yang juga barang kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah, dilupuskan di sebuah kilang di Jalan Tanjung Batu Laut, di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, Superintendan Mohamed Fadzil A Rahman, berkata pelupusan 2,914 barang kes dalam tempoh 2000 hingga 2016 itu dibuat selepas perbicaraan kes di mahkamah, selesai.

Katanya, ia membabitkan syabu seberat 7.6 kilogram (kg), ganja (4.07kg), pil psikotopik (3,944.00 gram), ketamin (322.64 gram), heroin (38.51 gram), nimetazepam/eramin 5 (22.91 gram) dan ecstasy (3.50 gram).

"Jumlah keseluruhan dadah yang dilupuskan itu adalah sebanyak 18.31kg. Lain-lain barang kes bukan dadah seperti ubat batuk, diazepam dan paracetamol seberat 2,312 .94 gram," katanya pada sidang media.

Mohamed Fadzil berkata, dadah berkenaan dilupuskan selepas mendapat perintah berikutan prosiding mahkamah dan tempoh rayuan bagi hukuman ke atas pesalah, sudah tamat.

"Pelupusan ini juga bertujuan mengelakkan tempat penyimpanan menjadi tidak tersusun selain menyukarkan pergerakan keluar masuk barang kes lain bagi tujuan perbicaraan. 

"Ia juga bagi mengelakkan barang kes rosak, koyak, lusuh dan dicemari makhluk perosak serta risiko lain yang boleh membahayakan kesihatan anggota yang bertugas di stor barang kes," katanya.

Sementara itu, katanya, sebanyak 3,081 kes berkaitan dadah dikesan dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, meningkat sebanyak 602 kes berbanding 2,479 kes pada tahun lalu.

"Kes yang membabitkan tangkapan sejak awal tahun sehingga kini pula ialah seramai 3,815, manakala bagi tempoh sama pada 2016 seramai 3,126 orang, iaitu peningkatan seramai 689 orang," katanya.

Berita Harian X