Ahad, 26 November 2017 | 9:29pm
SEORANG lelaki maut dalam nahas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya melanggar lori terbalik di KM 425.7 Lebuhraya PLUS arah selatan, petang tadi.
SEORANG lelaki maut dalam nahas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya melanggar lori terbalik di KM 425.7 Lebuhraya PLUS arah selatan, petang tadi.
SEORANG penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas bertembung dengan Honda Odyssey di KM 11 Jalan Batang Kali-Genting Highlands, dalam nahas jam 5 petang tadi. - Foto Ihsan PDRM
SEORANG penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas bertembung dengan Honda Odyssey di KM 11 Jalan Batang Kali-Genting Highlands, dalam nahas jam 5 petang tadi. - Foto Ihsan PDRM

2 penunggang motosikal berkuasa tinggi maut nahas

HULU SELANGOR: Dua penunggang motosikal berkuasa tinggi maut dalam kemalangan berasingan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Jalan Batang Kali-Genting Highlands dekat sini, petang tadi.

Dalam kemalangan pertama di Kilometer (KM) 425.7 Lebuhraya PLUS arah selatan, seorang polis bantuan sebuah bank maut selepas motosikal jenis Kawasaki KLZ Versys 1000 ditunggangnya merempuh lori Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Bhd (PROPEL) yang terbalik.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai, berkata Azmi Mohd Yusof, 53, dari Lembah Jaya Selatan, Ampang, Selangor maut dalam kemalangan kira-kira jam 3.30 petang itu.

"Tayar belakang lori PROPEL terbabit dipercayai pecah menyebabkannya gagal dikawal sebelum terbalik di lorong paling kanan lebuh raya.

"Mangsa tidak sempat mengelak lalu merempuh bawah lori terbabit.

"Dua daripada tiga pekerja PROPEL yang berada dalam lori berkenaan cedera ringan manakala seorang lagi rakan cedera di pinggang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kemalangan kedua di KM 11 Jalan Batang Kali-Genting Highlands arah ke Batang Kali, seorang lelaki terjatuh bersama motosikal jenis Aprilia 750 ditunggangnya sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan dilanggar sebuah Honda Odyssey dari arah Janda Baik.

Menurut Bak Phai, tujuh termasuk empat kanak-kanak dalam Honda Odyssey itu terselamat dalam kemalangan jam 5 petang itu, namun penunggang motosikal berusia 31 tahun berasal dari Bandar Bukit Sentosa, Rawang, maut di tempat kejadian.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X