Ahad, 26 November 2017 | 11:21am
SUSPEK yang memakai baju lokap SPRM (tengah) tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Melaka, pada jam 10 pagi, diiringi anggota dan pegawai SPRM. - Foto Fairuz Zaidan
SUSPEK yang memakai baju lokap SPRM (tengah) tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Melaka, pada jam 10 pagi, diiringi anggota dan pegawai SPRM. - Foto Fairuz Zaidan

Seleweng projek padi, pengurus disambung reman

AYER KEROH: Reman ke atas seorang pengurus projek di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Melaka disambung lima hari, bagi membantu siasatan kes penyelewengan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) berjumlah RM2.54 juta.

Perintah reman bermula esok hingga 1 Disember ini ke atas lelaki berusia 38 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Majistret Lee Kim Keat bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap SPRM tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Melaka, di sini, jam 10 pagi, diiringi anggota dan pegawai SPRM.

Suspek ditahan pada jam 3 petang di pejabat Lembaga Pertubuhan Peladang Melaka di Jalan Hang Tuah, Melaka pada Isnin lalu.

Suspek sama sebelum ini direman selama enam hari bermula Selasa lalu dan berakhir hari ini.

Penahanan itu dibuat selepas suspek dipercayai membuat sebanyak 23 tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM2.54 juta membabitkan sejumlah 56,700 kampit baja sepanjang tahun lalu, yang tidak pernah diluluskan oleh Mesyuarat Penapis PPK.

Daripada jumlah tuntutan itu, kerajaan telah membayar kira-kira RM1.33 juta, manakala selebihnya belum dibayar.

Setakat ini, empat suspek berusia 38 tahun hingga 52 tahun, termasuk seorang pengurus projek ditahan SPRM sejak Isnin lalu.

Berita Harian X