Khamis, 23 November 2017 | 1:17pm
SUSPEK ketiga kes seleweng baja direman selama enam hari bermula hari ini.
SUSPEK ketiga kes seleweng baja direman selama enam hari bermula hari ini.

Suspek ketiga kes seleweng baja direman

AYER KEROH: Seorang lagi suspek direman selama enam hari bermula hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan tiga lelaki berhubung kes penyelewengan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), bernilai kira-kira RM2.54 juta, sejak awal tahun lalu.

Perintah reman hingga Selasa depan terhadap suspek yang juga pesawah dan peniaga ikan berusia 52 tahun itu, dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Mohd Anuar Ostadi.

Penahanan suspek bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, suspek yang berpakaian lokap SPRM tiba di perkarangan kompleks mahkamah, jam 10.30 pagi diiringi pegawai SPRM, sebelum keluar kira-kira 30 minit kemudian.

Suspek ditahan di pejabat SPRM negeri selepas hadir untuk memberi keterangan, jam 7.45 malam tadi.

BH sebelum ini melaporkan dua lelaki masing-masing pengurus projek Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan pesawah berusia 38 dan 46 tahun direman, sejak dua hari lalu.

Kedua-dua suspek dipercayai bersama-sama terbabit menguruskan projek mengusahakan penanaman padi seluas 22.2 hektar yang dipajak di Merlimau, Jasin.

Pengurus projek itu juga dipercayai membuat 23 tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM2.54 juta membabitkan 56,700 kampit baja, sepanjang tahun lalu yang tidak pernah diluluskan oleh Mesyuarat Penapis PPK.

Baja itu sepatutnya dituntut oleh PPK berkenaan bagi pihak petani di sektor penanaman padi yang menyertai SBPKP serta diagihkan kepada mereka.

Bagaimanapun, suspek dipercayai menjual semula baja terbabit bagi mendapatkan keuntungan peribadi.

Sebuah kereta mewah jenis Audi A4 turut disita dipercayai dibeli menggunakan wang hasil jualan baja berkenaan.

Berita Harian X