Khamis, 23 November 2017 | 12:27am

Penjaga ditahan bantu siasatan kes dera kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua penjaga sebuah rumah jagaan kanak-kanak di Bandar Country Homes, Rawang, dekat sini dipercayai bagi membantu siasatan berhubung kes dera membabitkan seorang penghuninya, semalam.

Kedua-dua penjaga berusia 34 dan 29 tahun itu ditahan di pusat jagaan kanak-kanak terbabit kira-kira jam 12.15 tengah malam selepas polis menerima aduan daripada seorang wanita yang juga sepupu mangsa, petang kelmarin.

Wanita berusia 21 tahun itu mendakwa sepupu lelakinya yang berusia 12 tahun itu dirantai dan tidak diberi makan malah terdapat kesan luka, calar dan lebam pada tangan kaki selain kesan lebam pada mata kanan dipercayai kesan tumbukan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, berkata susulan aduan yang diterima, dua penjaga terdiri daripada seorang lelaki dan wanita itu ditahan untuk soal siasat manakala kanak-kanak itu pula dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

"Suspek lelaki yang berusia 34 tahun direman tiga hari sehingga 24 November bagi membantu siasatan.

"Bagaimanapun, suspek wanita berusia 29 tahun dibebaskan dengan kebenaran mahkamah atas faktor kesihatan selain ketiadaan petugas lain untuk menguruskan pusat jagaan kanak-kanak itu," kata beliau.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Berita Harian X