Selasa, 21 November 2017 | 11:49am

Pengurus PPK direman kes seleweng skim baja padi

AYER KEROH: Seorang pengurus projek direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan penyelewengan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) membabitkan nilai RM2.54 juta sejak awal tahun lalu.

Perintah reman ke atas suspek lelaki berusia 38 tahun yang juga kakitangan di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Melaka, dikeluarkan Majistret Mahkamah Ayer Keroh, Majistret Hurman Hussain.

Penahanan suspek bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, suspek yang berpakaian lokap SPRM tiba di perkarangan kompleks mahkamah pada jam 11 pagi dengan diiringi pegawai SPRM, sebelum keluar kira-kira 30 minit kemudian.

Suspek ditahan pada jam 3 petang semalam di Pejabat Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Melaka.

Sumber berkata, suspek membuat sebanyak 23 tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM2.54 juta membabitkan 56,700 kampit baja sepanjang tahun lalu yang tidak pernah diluluskan oleh Mesyuarat Penapis PPK berkenaan.

Baja itu sepatutnya dituntut oleh PPK berkenaan bagi pihak petani di sektor penanaman padi yang menyertai SBPKP serta diagihkan kepada mereka.

Bagaimanapun, suspek dipercayai menjual semula baja terbabit bagi mendapatkan keuntungan peribadi.

PENGUATKUASA Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa seorang pengurus projek Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Merlimau untuk direman atas dakwaan tuntutan palsu penyelewengan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) membabitkan nilai RM2.54 juta ketika dibawa ke Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh. - Foto Rasul Azli Samad

Berita Harian X