Isnin, 20 November 2017 | 4:58pm
DATUK Azri Ahmad menunjukkan sebahagian barang pelupusan kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang membabitkan 4655 berbagai jenis dadah bernilai lebih RM23 juta dari tahun 2013 hingga 2016 yang akan dilupuskan selepas mendapat perintah mahkamah ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK). - Foto Zulkepli Osman

Dadah bernilai RM23.3 juta dilupus

KUANTAN: Sebanyak 12 jenis dadah bernilai RM23.3 juta barang kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang akan dilupuskan di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan, esok.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Azri Ahmad, berkata pelupusan membabitkan 4,655 barang kes dalam tempoh tiga tahun iaitu bermula 2013 hingga 2016.

"Barang kes yang akan dimusnahkan kontraktor bertauliah membabitkan 12 jenis heroin seberat 1,281 kilogram (kg), methamphetamine (2.8 kg), kanabis, ketamin (371 gram) dan nimetazepam (950 gram).

"Dadah lain midazolam seberat 5.7 gram, ecstasy (154.25 gram), cecair ketum (4,395 liter), daun ketum (30.68 kg), codein (157.32 gram), pil psikotropik (2.7 kg) dan 115.88 gram lain-lain dadah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan pelupusan barang kes JSJN Polis Pahang di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua JSJN Polis Pahang, Superintendan Lam Thiat Huat.

Azri berkata, dadah pelbagai jenis berkenaan dilupuskan selepas mendapat perintah berikutan prosiding mahkamah dan tempoh rayuan bagi hukuman ke atas pesalah tamat.

Katanya, JSJN Polis Pahang mencatat 9,830 kes membabitkan tangkapan 11,296 orang dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, meningkat berbanding tahun lalu dengan 9,680 kes dengan 10,880 orang ditangkap.

"Jumlah sitaan harta mencatat peningkatan 91 peratus iaitu daripada RM2.5 juta tahun lalu kepada RM4.7 juta tahun ini.

"Peningkatan juga direkodkan dari segi nilai rampasan dadah iaitu RM5 juta tahun ini berbanding RM4 juta tahun lalu, membabitkan pelbagai jenis dadah," katanya.

Berita Harian X