Isnin, 20 November 2017 | 2:28pm

Keracunan selepas majlis makanan laut

MUAR: Seramai 99 pelajar Kolej Vokasional Muar di sini, dipercayai keracunan makanan selepas menikmati makanan laut pada majlis akhir persekolahan kolej berkenaan, petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Penerangan dan Pendidikan negeri, Datuk Ayub Rahmat, berkata Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Muar menerima maklumat daripada Klinik Kesihatan Maharani berkaitan kes terbabit kira-kira jam 3.30 petang semalam.

"Semalam, kolej itu membuat majlis makan untuk pelajar sempena akhir minggu persekolahan.

"Jamuan berasaskan makanan laut 'shell out' seperti kupang, udang, ketam dengan sambal yang disediakan oleh dapur asrama kolej yang sama.

"Bagaimanapun, beberapa pelajar kemudiannya mengadu sakit dan terdapat beberapa simptom keracunan seperti sakit perut, cirit-birit, loya, kejang perut, pening, muntah dan demam," katanya di sini, hari ini.

Ayub berkata, berikutan itu, 30 pelajar mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Maharani, jam 3.30 petang, semalam bagi mendapatkan rawatan susulan.

"Seramai 39 pelajar lagi dikesan sewaktu siasatan lanjut wabak oleh pasukan kesihatan di sekolah, manakala 30 pelajar lagi yang mendapat rawatan susulan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar kira-kira jam 12 tengah malam tadi.

"Ia menjadikan jumlah keseluruhan pelajar yang disyaki mengalami keracunan seramai 99 orang.

"Pihak PKD Muar membuat siasatan menyeluruh termasuk mengambil sampel makananm oerakatan dan lain-lain untuk dianalisa di Makmal Kesihatan Awam Johor Bahru, hari ini," katanya.

Beliau berkata, dapur asrama kolej itu diarah ditutup tiga hari sehingga esok untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC).

"Pengendali sewajarnya menjaga kebersihan dan perlu menjalani latihan. Pelajar juga dinasihatkan sentiasa menjaga kebersihan diri.

"Seramai 380 guru dan pelajar ada di kolej yang mungkin terdedah dengan kes ini," katanya.

SERAMAI 99 pelajar Kolej Vokasional Muar keracunan makanan. - Foto hiasan
SERAMAI 99 pelajar Kolej Vokasional Muar keracunan makanan. - Foto hiasan
Berita Harian X