Sabtu, 18 November 2017 | 2:11pm
KETUA Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali bersalaman dengan pemain pada majlis perasmian Kejohanan Futsal Jasa Perwira Piala Ketua Pengarah 2017 di KB Arena Futsal Padang Tembak, Kota Bharu, hari ini. - Foto Fathil Asri
KETUA Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali bersalaman dengan pemain pada majlis perasmian Kejohanan Futsal Jasa Perwira Piala Ketua Pengarah 2017 di KB Arena Futsal Padang Tembak, Kota Bharu, hari ini. - Foto Fathil Asri

Imigresen bantu polis buru suspek bunuh tiga beranak

KOTA BHARU: Jabatan Imigresen membantu polis bagi memburu suspek pembunuhan tiga beranak yang ditikam dalam kejadian di Taman Bahagia, Wakaf Mek Zainab, Rabu lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pihaknya sudah mengarahkan anggota yang bertugas di kawasan sempadan Sungai Golok supaya perketat kawalan bagi mengesan suspek.

Katanya, Jabatan Imigresen sentiasa peka dengan perkembangan jenayah berlaku berikutan sempadan menjadi sasaran suspek untuk meloloskan diri ke luar negara.

"Dalam soal jenayah yang berlaku sama ada di dalam atau luar negara kita sentiasa peka dan bersedia membantu pihak polis mengesan individu yang dikehendaki.

"Bagaimanapun, kita juga memohon pihak luar menyalurkan maklumat terbaru mengenai kes terbabit bagi memudahkan lagi tugas mengesannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kejohanan Futsal Jasa Perwira Piala Ketua Pengarah 2017 di KB Arena Futsal Padang Tembak, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Datuk Abdul Halim Abdul Rahman; Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Datuk Jaafar Mohamed dan Pengarah Imigresen Negeri Kelantan, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff.

Dalam kejadian jam 2.30 petang Rabu lalu, tiga beranak maut dibunuh bekas pekerja, manakala seorang cedera dalam kejadian di Taman Bahagia, Jalan Wakaf Mek Zainab.

Mangsa yang maut terdiri daripada Kha Ng Ni, 42; isterinya, Chua Joo Seok, 37, dan anak lelaki mereka, Kha Zee Hanz, 13. Kesemua mangsa dipercayai mati ditikam pada bahagian badan, selain dipukul di kepala dengan menggunakan objek keras.

Motif dendam dipercayai menjadi penyebab tiga sekeluarga dibunuh oleh bekas pekerjanya yang berasal dari Tumpat.

Berita Harian X