Ahad, 12 November 2017 | 8:51pm

Pengecat kereta resah sijil nikah tiada dalam rekod

KUALA LUMPUR: Seorang pengecat kereta terkejut selepas pernikahannya dengan seorang gadis Kemboja tiga tahun lalu, didapati tidak berdaftar dengan jabatan agama Islam.

Zamri Zakaria (bukan nama sebenar), 38, berkata perkara itu disedari ketika beliau ingin mendaftarkan kelahiran anak lelakinya pada 2014 dan permohonan ditolak pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Semakan pegawai JPN terbabit ke atas nombor sijil 0009200, mendapati sijil perkahwinan saya tidak direkodkan dalam sistem komputer Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

"Saya kemudian menemui pegawai JAIPk untuk bertanyakan sijil pernikahan berkenaan tetapi dia menafikan jabatannya pernah mengeluarkan sijil nikah berkenaan. Bagaimanapun, dia tidak menafikan yang nama tertera dan tanda tangan di sijil itu adalah milik Pendaftar jabatan berkenaan," katanya.

HELIKOPTER memadamkan kebakaran di Pelabuhan Beirut. - Foto AFP
HELIKOPTER memadamkan kebakaran di Pelabuhan Beirut. - Foto AFP

Mengimbas kembali pernikahan dengan pasangannya, Zakaria berkata, beliau mengenali isterinya, Normala Abdullah (bukan nama sebenar), 22, yang juga jurujual di sebuah pasar raya di Ampang, sebelum memutuskan untuk bernikah.

"Ini perkahwinan pertama saya dan terlalu naif akan prosedur mengenainya. Saya bernikah dengan Normala di Ampang, Selangor pada 5 Februari 2014.

"Sebelum bernikah, isteri saya beragama Buddha dan urusan memeluk Islam dilakukan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jalan Perdana, pada 27 Januari, tahun sama," katanya kepada BH.

Zamri berkata, pernikahan mereka berdua dilakukan seorang jurunikah yang dikenali sebagai 'Ustaz Rahman' dengan disaksikan dua lelaki lain bersamanya.

ZAMRI (berdiri kiri) bergambar dengan bapa mentuanya di Kemboja.
ZAMRI (berdiri kiri) bergambar dengan bapa mentuanya di Kemboja.

"Ustaz Rahman turut menunjukkan kad kuasa jurunikah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang turut tertera gambarnya bagi membuktikan dia bertauliah mengendalikan majlis berkenaan," katanya.

Zamri berkata, bagi penganjuran majlis pernikahan itu beliau membayar RM1,800 kepada seorang rakan lain dikenali sebagai Razif Ismail.

"Razif yang menguruskan majlis pernikahan berkenaan, termasuk menyediakan borang perkahwinan JAIS, menyediakan wali hakim, dua saksi dan hal berkaitan.

"Sebelum majlis berakhir, mereka berjanji akan menyelesai prosedur pendaftaran pernikahan dan mendapatkan sijil nikah. Bagaimanapun, selepas tiga minggu menunggu, kedua-duanya menghilangkan diri dan gagal dihubungi," katanya.

Katanya, selepas gagal berusaha menjejaki kedua-duanya, beliau dihubungi seorang lelaki yang mendakwa boleh membantunya menyelesaikan masalah sijil nikah berkenaan.

"Lelaki terbabit kemudian membawa saya ke Tapah, Perak dan memperkenalkan dengan seorang rakannya dikenali sebagai Ustaz Zul yang mendakwa ada orang dalam di JAIPk.

"Selepas melunaskan bayaran yang diminta, saya diberikan sijil pernikahan yang tertera nama JAIPk dengan nombor sijil 0009200. Sijil berkenaan lengkap dengan tanda tangan pendaftar nikah kahwin daerah Ipoh.

"Saya dan isteri menjalani penghidupan sebagai pasangan suami isteri sehinggalah disahkan mengandung. Kami juga tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan rawatan di klinik dan bersalin di Hospital Ampang," katanya.

SIJIL nikah palsu tertera nama Jabatan Agama Islam Negeri Perak kelihatan seperti tulen.
SIJIL nikah palsu tertera nama Jabatan Agama Islam Negeri Perak kelihatan seperti tulen.

Justeru, beliau merayu menteri di Jabatan Perdana Menteri atau JAIS membantu menyelesaikan masalah yang dihadapinya sejak 2014.

Sementara itu, pelaksanaan sistem Perakuan Nikah Segera (PerakNis) yang mengeluarkan sijil nikah hanya dalam tempoh satu minit berbanding 14 hari sebelum ini, mampu mengekang kegiatan pemalsuan sijil nikah di Perak.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Zakaria Abd Razak, berkata menerusi sistem yang dibangunkan jabatan itu, sijil nikah akan dikeluarkan menerusi cetakan komputer dan tidak lagi menggunakan tulisan tangan.

"Sejak 2015, tiada lagi kes sijil nikah palsu dikesan, berbanding sebelum ini memang pernah ada kes sijil nikah palsu.

BORANG permohonan sijil kelahiran anak Zamri yang ditolak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) gara-gara didapati sijil nikah bapanya palsu.
BORANG permohonan sijil kelahiran anak Zamri yang ditolak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) gara-gara didapati sijil nikah bapanya palsu.

"Banyak pemalsuan surat nikah ini membabitkan kes (sijil nikah jenis) lama dan hanya dapat dikesan apabila pemegang sijil hendak melakukan urusan rasmi seperti mendaftarkan kelahiran, baru dia tahu sijil nikahnya adalah palsu.

"Bagaimanapun saya tidak ingat berapa banyak kes seperti itu pernah berlaku," katanya ketika dihubungi BH di sini.

Zakaria berkata, menerusi sistem itu, pemegang sijil nikah boleh terus menyemak secara dalam talian sama ada ia adalah palsu atau tulen, sekali gus dapat mengetahui dengan segera jika berlaku penipuan.

Menerusi sistem PerakNis, penyerahan perakuan nikah atau sijil nikah akan diberikan serta-merta selepas akad nikah dan tiada ejen, syarikat atau orang tengah yang dibenarkan menguruskan permohonan perkahwinan sebaliknya ia hanya dilakukan di pejabat agama.

SURAT pengesahan milik bakal isteri Zamri yang mengatakan ia bujang yang dikeluarkan pihak berkuasa Kemboja.
SURAT pengesahan milik bakal isteri Zamri yang mengatakan ia bujang yang dikeluarkan pihak berkuasa Kemboja.

Sistem berkenaan juga dapat menyelesaikan masalah sijil nikah tidak dituntut yang sering berlaku sebelum ini apabila sijil berkenaan tidak boleh dikeluarkan segera.

INFO

- Zamri bernikah dengan Normala di Ampang, Selangor, pada 5 Februari 2014.

- Dinikahkan oleh Ustaz Rahman yang mengaku seorang jurunikah bertauliah.

- Zamri dikenakan bayaran RM1,800 bagi mengadakan majlis pernikahan, termasuk penyediaan borang perkahwinan JAIS, wali hakim, dua saksi dan hal berkaitan.

- Semakan pegawai JPN ke atas nombor sijil 0009200, mendapati sijil perkahwinan tidak direkodkan.

SURAT pengesahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang mengesahkan bakal isteri Zamri, sudah memeluk agama Islam.
SURAT pengesahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang mengesahkan bakal isteri Zamri, sudah memeluk agama Islam.

Berita Harian X