Ahad, 12 November 2017 | 10:30am
PETROL yang dirampas daripada seorang lelaki warga asing berusia 67 tahun di perairan Tanjung Berungus, Kudat. - Foto Ihsan Maritim Malaysia
PETROL yang dirampas daripada seorang lelaki warga asing berusia 67 tahun di perairan Tanjung Berungus, Kudat. - Foto Ihsan Maritim Malaysia
SUSPEK warga asing yang ditahan kerana disyaki cuba menyeludup keluar petrol melalui perairan Tanjung Berungus, Kudat. - Foto Ihsan Maritim Malaysia

Warga tua cuba seludup petrol

KUDAT: Pihak berkuasa menahan seorang lelaki warga tua selepas didapati cuba menyeludup keluar lebih 2,000 liter petrol ke negara jiran melalui perairan Tanjung Berungus dekat sini, semalam.

Percubaan itu digagalkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah Maritim Kudat menerusi Ops Pluto Timur di perairan itu, kira-kira jam 1 pagi.

Pengarah Maritim Daerah Kudat, Leftenan Komander Maritim Boon Chin Chau, berkata pihaknya sebelum itu mengesan sebuah bot enjin bergerak dalam keadaan mencurigakan pada jarak 0.6 batu nautika dari Tanjung Berungus.

"Anggota Maritim Malaysia mengekori bot terbabit dan sebaik ditahan, kita dapati bot tanpa nombor pendaftaran itu dikendalikan lelaki warga asing berusia 67 tahun tanpa dokumen pengenalan diri sah.

"Pemeriksaan lanjut menemui 71 tong berisi petrol berkapasiti 30 liter setiap tong dengan anggaran keseluruhan 2,130 liter yang disyaki cuba diseludup keluar tanpa surat kebenaran sah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

"Semua barang rampasan termasuk bot dan enjin jenis Yamaha 40 kuasa kuda bernilai RM18,920.30," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Chin Chau berkata, tekong bot akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki dan tinggal di negara ini tanpa pas atau permit yang sah.

"Dia turut disiasat mengikut Enakmen Pelabuhan dan Darmaga Sabah (2002) (Pelesenan Kapal Kecil 2008) kerana mengendalikan bot tanpa lesen yang sah dan Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa kelulusan pihak KPDNKK.

"Tekong dan bot itu bot diiringi memasuki Jeti Awam Kudat untuk pemeriksaan lanjut dan diserahkan kepada Unit Siasatan Maritim Kudat," katanya.

Beliau turut mengingatkan semua bot yang beroperasi dan menjalankan aktiviti di perairan ini agar mematuhi syarat sah lesen dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Berita Harian X