Khamis, 9 November 2017 | 12:54pm
KETUA Polis Penampang, Deputi Superintendan Rosley Hobden menunjukkan barangan yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, hari ini.
KETUA Polis Penampang, Deputi Superintendan Rosley Hobden menunjukkan barangan yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, hari ini.

Geng Saudara, Ayah Rul tumpas

PENAMPANG: Dua kumpulan penjenayah yang aktif dalam kegiatan pecah rumah dan curi motosikal tumpas susulan penahanan lapan individu menerusi beberapa serbuan polis di daerah ini.

Kumpulan pertama membabitkan empat lelaki bersaudara dikenali sebagai Geng Saudara, ditahan di Kampung Baru, Luyang, dekat sini pada Isnin lalu, manakala Geng Ayah Rul yang turut dianggotai empat lelaki ditahan di Putatan, semalam.

Ketua Polis Penampang, Deputi Superintendan Rosley Hobden, berkata Geng Saudara yang diburu sejak awal tahun ini terbabit dalam sekurang-kurangnya 10 kes pecah rumah dan curi motosikal yang dilaporkan di daerah ini.

Katanya, empat lelaki bersaudara berumur antara 19 hingga 25 tahun yang terbabit dalam jenayah itu turut dikesan positif syabu dan memiliki rekod jenayah termasuk penyalahgunaan dadah.

"Berikutan penahanan mereka, polis berjaya menemui 63 jenis barang dipercayai dicuri kumpulan berkenaan, antaranya rangka dan komponen motosikal sudah dilerai dianggarkan bernilai RM30,000, dompet dan dokumen milik mangsa.

KETUA Polis Penampang, Deputi Superintendan Rosley Hobden menunjukkan sepucuk pistol tiruan yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, hari ini.
KETUA Polis Penampang, Deputi Superintendan Rosley Hobden menunjukkan sepucuk pistol tiruan yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, hari ini.

"Polis turut merampas sepucuk pistol tiruan dan pedang samurai dipercayai digunakan dalam aktiviti jenayah mereka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya, Geng Ayah Rul yang diketuai seorang lelaki dikenali dengan nama Kamarul, 32, aktif mencuri barangan rumah seperti tong gas memasak dan bateri kenderaan dipercayai untuk dijual semula.

Beliau berkata, kumpulan berkenaan dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya tujuh kes jenayah pecah rumah dan curi komponen kenderaan serta motosikal di sekitar daerah ini dan Putatan.

"Empat lelaki berumur 26 hingga 37 tahun yang menganggotai Geng Ayah Rul juga dikesan positif dadah dan memiliki rekod jenayah," katanya.

Rosley berkata, semua individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 457, Seksyen 379A dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Mereka juga, katanya, disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 bagi kesalahan memiliki senjata api tiruan serta senjata tajam.

Berita Harian X