Selasa, 7 November 2017 | 3:38pm

Dipenjara tiga tahun cuba rompak, cederakan wanita

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga yang didakwa dengan dua pertuduhan, cuba merompak dan mencederakan seorang wanita Ogos lalu, dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Zaman Mohd Noor ke atas Mohamad Khairul Azwan Juraimi, 26, sejurus tertuduh mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah sebelum menjatuhkan hukuman menyifatkan perbuatan tertuduh sangat serius dan mahkamah perlu mengambil kira kepentingan masyarakat awam dalam usaha membanteras jenayah rompak.

Terdahulu Zaman memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga tahun bagi kesalahan rompak dan enam bulan bagi kesalahan mencederakan dan mengarahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap, pada 25 Ogos 2017.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Khairul Azwan didakwa cuba melakukan rompak iaitu seutas rantai emas milik M Sumathy, 38, dan pada masa sama dengan sengaja mencederakan wanita itu hingga mangsa mengalami luka dan bengkak di bahagian kaki kiri dan kanan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan Tune Hotels, Jalan Ipoh Kecil, Dang Wangi, di sini pada jam 1.20 tengah hari, 25 Ogos lalu.

Tertuduh yang diwakili peguam, Keshreena Kaur Sidhu memohon hukuman berbentuk pemenjaraan minimum atas alasan anak guamnya adalah orang kurang upaya (OKU) di bahagian kaki kerana terbabit dalam kemalangan beberapa tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Amira Sariaty Zainal bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berikutan mangsa mengalami impak yang berat kerana kecederaan yang dialaminya dalam insiden rompakan itu.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa yang berada di hadapan hotel didatangi tertuduh yang menaiki motosikal sebelum dia cuba menarik rantai emas di leher mangsa, namun gagal.

Tertuduh yang tidak berpuas hati tetap cuba menarik rantai tersebut yang menyebabkan mangsa jatuh dan kemudian melarikan diri sebelum berlanggar dengan sebuah kereta di kawasan itu.

INFO

- Dakwaan bagi kes cubaan merompak dilakukan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, manakala bagi kesalahan mencederakan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya.

Berita Harian X