Ahad, 5 November 2017 | 11:29am

Lelaki maut dihempap pokok

BUTTERWORTH: Seorang lelaki warga Bangladesh maut akibat dihempap sebatang pokok yang menimpa rumahnya dalam kejadian hujan lebat dan angin kencang di Kampung Perlis di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.15 malam itu, mangsa dikatakan berada di rumah bersama seorang rakan sebelum pokok berkenaan tumbang lalu menghempap rumah kayu didiami,

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata ketika kejadian, hujan lebat dan angin kencang melanda beberapa kawasan di daerah itu sejak petang semalam.

"Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat membantu dalam operasi mengesan mangsa dalam rimbunan pokok yang tumbang.

"Mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri manakala kawasan berkenaan ditenggelami air.

"Petugas perubatan yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) proses bedah siasat.

Noorzainy berkata, pihaknya dan bomba masih meneruskan pemeriksaan di tempat kejadian bagi mengesan seorang rakan mangsa yang dilaporkan hilang.

Berita Harian X