Khamis, 2 November 2017 | 2:04pm
PENGURUS Besar JKNS, Melvin V Majanga (kanan) meninjau lokasi kemalangan kereta api di Kampung Mandahan bersama beberapa kakitangannya, hari ini. - Foto Izhari Ariffin
PENGURUS Besar JKNS, Melvin V Majanga (kanan) meninjau lokasi kemalangan kereta api di Kampung Mandahan bersama beberapa kakitangannya, hari ini. - Foto Izhari Ariffin

Nahas kereta api, pikap: JKNS tutup lintasan berisiko

PAPAR: Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) akan menutup lintasan kereta api dikenal pasti berisiko tinggi mendedahkan orang ramai kepada kemalangan.

Ia berikutan sikap pengguna yang masih berdegil dan tidak menghiraukan keselamatan, khususnya di laluan antara Tanjung Aru dan Beaufort.

Pengurus Besar JKNS, Melvin V Majanga, berkata ketika ini ada 18 lintasan kereta api berpalang di sepanjang laluan berkenaan, termasuk lokasi seorang maut yang ketika cuba menyeberang landasan di Kampung Mandahan, di sini, kelmarin.

Katanya, penutupan itu perlu bagi mengelak kemalangan membabitkan kereta api berulang, selain mengambil kira keadaan palang di kebanyakan lintasan yang dibiarkan terbuka sepanjang masa.

"Ini saja cara kita untuk elak kemalangan berulang. Sebelum ini kita sediakan lintasan berpalang, tetapi palang tidak ditutup selepas digunakan, malah ada tempat didapati kunci palang dirosakkan.

"Ia tidak termasuk lintasan haram yang dibuat penduduk. Hari ini kita tutup, esok dirosakkan dan mereka melintas semula di situ. JKNS sudah mengambil langkah keselamatan di sepanjang landasan, tetapi penduduk masih menggadai nyawa.

"Malangnya, apabila berlaku kemalangan membabitkan kereta api, JKNS pula dipersalahkan sedangkan melintas landasan secara haram dianggap menceroboh," katanya.

Beliau berkata demikian kepada BH ketika meninjau lokasi kemalangan kereta api di Kampung Mandahan bersama beberapa kakitangannya, hari ini.

Dalam nahas jam 4.29 petang kelmarin, pemandu pikap, Jumar Talib, 50, maut, manakala tiga rakan sekerjanya terselamat selepas kenderaan dinaiki mereka dirempuh kereta api.

Mangsa dan tiga rakannya difahamkan dalam perjalanan pulang selepas melakukan kerja membina tiang pencawang elektrik di Ulu Kimanis, Jalan Keningau.

Mereka melintas landasan tanpa menyedari kehadiran kereta api dari arah dari Papar menghala ke Beaufort.

Melvin berkata, ketika kejadian itu, pemandu kereta api tidak sempat berhenti kerana hanya berada kira-kira 15 meter dari pikap berkenaan, menyebabkannya merempuh dan mengheret pikap terbabit sejauh kira-kira 15 meter.

"Kereta api tidak bergerak laju, mungkin dalam 60 kilometer sejam kerana sebelum sampai di lintasan, ada satu selekoh. Namun, untuk menghentikannya, memerlukan jarak antara 300 meter hingga 400 meter sebelum itu.

"Sekarang, lintasan ini dan beberapa lagi lintasan berhampiran kawasan kemalangan akan ditutup sepenuhnya. Hanya satu lintasan berpalang ditinggalkan dan kita akan pastikan ia sentiasa ditutup," katanya.

Difahamkan, lintasan itu menjadi laluan penduduk dan pengusaha kebun untuk keluar ke jalan utama, selain beberapa lagi lintasan berpalang di sepanjang laluan susur disediakan JKNS di Kampung Mandahan.

Berita Harian X